VVIP DENAI CINTA

01 April 2011

3 Bulan Perbicaraan Kes Bunuh Datuk Sosilawati


NATANG TERTUDUH : (dari kiri) Khatavayan, Matan, Thilaiyagan dan Pathmanabhan
dibawa keluar dari Makhmah Tinggi Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM : Kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang menggemparkan negara tahun lalu akan mula dibicarakan selama tiga bulan di Mahkamah Tinggi, di sini, mulai 4 Julai depan. Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir menetapkan tarikh itu pada prosiding sebutan semula kes itu, semalam.

Terdahulu, tertuduh, bekas peguam N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh Sosilawati dan tiga lagi individu, Ogos tahun lalu. Keempat-empat tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Tamil dan tenang sepanjang prosiding kira-kira setengah jam itu.

Mengikut pertuduhan, Pathmanabhan, 42, T Thilaiyalagan, 20, R Matan, 21, dan R Khatavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Pada prosiding semalam pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani. Tertuduh diwakili peguam, Manjeet Singh, Puspha Ratnam, Amer Hamzah Arshad, Datuk Ng See Teong, Ravi Nekoo dan Gurbachan Singh.

Kes pembunuhan itu mendapat publisiti meluas apabila Sosilawati dilaporkan hilang sejak 30 Ogos tahun lalu selepas ke Banting atas urusan pembelian tanah ditemani Kamaruddin, Noorhisham dan Ahmad Kamil.

Pada 6 September tahun lalu, BMW M5 dipercayai milik Sosilawati ditemui di parkir Pangsapuri Angsana, USJ 1, manakala BMW milik Ahmad Kamil dijumpai di depan rumah teres berhampiran sebuah hotel di sini.

Misteri kehilangan keempat-empat mangsa terungkai pada 12 September tahun lalu apabila Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zini mengesahkan mereka dibunuh sebelum dibakar manakala abu mayat mereka dibuang ke sungai berhampiran.

LATAR BELAKANG KES

PADA 21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menerusi satu semakan kehakiman mengubah hukuman penjara tujuh tahun terhadap dua pekerja ladang, K Sarawanan, 20 dan U Suresh, 27 kepada 20 tahun.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas mendapati hukuman dijatuhkan Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting pada 15 Oktober tahun lalu tidak memadai dengan kesalahan dua lelaki itu.

Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara itu terhadap Sarawanan dan Suresh yang mengaku salah atas tuduhan melupuskan abu mayat mangsa dalam pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawita serta tiga individu lain.

Kedua-duanya mengaku mengangkat, membakar dan membuang abu mayat mangsa. Sementara itu, dalam kes berasingan anak Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Bukhari akan meneruskan kes tuntutan harta bernilai RM1.38 juta yang difailkan Allahyarham ibu mereka terhadap bekas suami, Nash atau Jamaludin Elias, 52 di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Mengikut permohonan asal, Sosilawati ketika hayatnya menuntut wang dan modal pelaburan saham amanah bernilai RM1.38 juta yang didakwa diberikannya kepada Nash sepanjang tempoh perkahwinan singkat mereka.

Kes jutawan kosmetik ini dianggap paling kejam selepas pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Raub, Pahang, Datuk Mazlan Idris, yang mayatnya dikerat 18 bahagian pada 1993.

Mayat lelaki itu ditemui tertanam dengan simen dalam stor di belakang rumah pasangan bomoh Mohd Affandi Abdul Rahman dan Maznah Ismail atau lebih dikenali sebagai Mona Fandey di Kampung Pamah Dong, Ulu Dong, Raub, Pahang.

Mohd Affandi, Mona Fandey dan pembantu mereka, Juraimi Husin dijatuhi hukuman gantung hingga mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995 selepas didapati bersalah membunuh Mazlan. Ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman mati itu pada 2001.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails