VVIP DENAI CINTA

07 Julai 2011

Kak Wati Menangis, Suami Tergesa-gesa - Uncle Kamal Tak Begitu


TERTUDUH : Pathmanabhan (dua dari kiri) bersama tiga lagi suspek dibawa
ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. Gambar kecil : Ahmad Kamil Abdul Karim

UNCLE KAMAL TAK BEGITU
"Saya tak percaya Uncle Kamal (Kamaruddin Mohammad) akan buat begitu. Saya sudah periksa bilik, memang tidak ada kamera," kata Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, anak jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya iaitu Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, ketika perbicaraan kes pembunuhan ibunya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi, semalam.

Erni Dekritawati atau Rita berkata, Kamaruddin, 44, bekerja sebagai pemandu peribadi ibunya sejak tiga tahun lalu seorang yang baik, sering membuat kelakar dan tidak pernah menimbulkan masalah terhadap keluarganya. "Selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan jangan benarkan Kamal masuk rumah ibu, saya pulang ke rumah. Saya menghubungi rakan ibu, Habishah Bahari dan dia beritahu terima panggilan telefon dari ibu juga. Tidak pernah ibu dan Kamal bergaduh sehingga begitu sekali."

"Timbul syak wasangka di hati kerana saya tidak percaya Kamal akan buat begitu terhadap ibu. Selepas dimaklumkan Habishah berhubung kamera yang didakwa berada dalam bilik ibu, saya terus periksa dan memang tidak ada. Habishah sendiri pun tidak percaya Kamal akan buat begitu," kata Rita ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yussuf.

Menurut Rita, pada malam kejadian iaitu 30 Ogos 2010, iaitu selepas berbuka puasa, dia tidak perasan Sosilawati menghubunginya. Ketika memeriksa telefon bimbit dia mendapati ada SMS dihantar ibunya, namun dia gagal menghubunginya semula. - Harian Metro

KAK WATI MENANGIS, SUAMI TERGESA-GESA
SHAH ALAM : Isteri peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, suaminya pernah memaklumkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya menangis kerana pemandunya bernama Kamal mengugut mahu menyebarkan 'gambar tidak senonoh'. Sabrina Adnan, 32, yang bertugas di Jabatan Pengajian Kolej Komuniti di Kementerian Pengajian Tinggi berkata, maklumat itu diberitahu Ahmad Kamil dalam perbualan terakhir mereka menerusi panggilan telefon pada kira-kira jam 7.50 malam, 30 Ogos tahun lalu.

"Dia cakap secara tergesa-gesa dan berkata dia tak balik selama tiga hari. Saya tanya kenapa, dia kata ada masalah... Kak Wati (Sosilawati) menangis. Saya tanya kenapa, dia kata Kamal ugut (Sosilawati) untuk sebarkan gambar tidak senonoh. Jadi, dia nak tolong Sosilawati. Dia mahu selesaikan dalam tempoh tiga hari. Saya tanya dia nak ke mana, tetapi dia tidak jawab," kata Sabrina.


Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff pada perbicaraan kes bunuh Sosilawati, 47, Ahmad Kamil, 32, pemandu, Kamaruddin Shamsudin, 44 atau nama panggilannya Kamal serta pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.

Sabrina yang juga saksi pendakwaan ke-14 itu berkata, suaminya bercakap dengan nada tersekat-sekat, cepat dan tergesa-gesa serta tidak menjawab soalannya dalam perbualan telefon selama antara dua dan tiga minit itu.

Menurutnya, dia juga ada mendengar suara latar lelaki yang kedengaran garau ketika bercakap dengan Ahmad Kamil, tetapi tidak dapat memastikan bahasa yang dituturkan individu itu sebelum suaminya memutuskan panggilan itu. Sabrina berkata, selepas panggilan terakhir itu, dia cuba menghubungi suaminya antara lima hingga enam kali, tetapi tidak berjaya dan panggilannya masuk ke dalam peti pesanan suara. Katanya, dia juga menghubungi suaminya setiap hari sehingga membuat laporan di Balai Polis Brickfields di Kuala Lumpur, berhubung kehilangan Ahmad Kamil pada 3 September tahun lalu.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam Manjeet Singh, Sabrina berkata dia tidak mendedahkan identiti Sosilawati dan hanya menyatakan 'anak guam' suaminya dalam laporan polis kerana tidak mahu dikatakan sebagai 'pembawa mulut'. Selain itu, katanya, dalam perbualan terakhir suaminya juga menyatakan akan menyelesaikan isu gambar itu dan oleh itu, dia beranggapan memaklumkan identiti Sosilawati sebagai anak guam suaminya sudah memadai.

Ketika disoal balas peguam, Amer Hamzah Arshad, saksi sama berkata, Ahmad Kamil ada menyebut 'mereka' akan memberi duit bagi mengelakkan gambar yang dikatakan tidak senonoh itu daripada tersebar. Dia berkata, berdasarkan pemahaman daripada percakapan suaminya, dia beranggapan perkara itu membabitkan peras ugut.

Menurutnya, dia juga tidak mencuba untuk mencari Ahmad Kamil selepas perbualan telefon itu kerana berpegang kepada kata suaminya akan pulang tiga hari lagi selepas menyelesaikan masalah dihadapi Sosilawati itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung hari ini. - Harian Metro

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails