VVIP DENAI CINTA

06 Julai 2011

Kes Pembunuhan Sosilawati : Panggilan Terakhir Ahmad Kamil

SHAH ALAM : Isteri kepada peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim yang didakwa mati dibunuh bersama jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya memberitahu bahawa dia menerima panggilan terakhir daripada suaminya pada pukul 7.50 malam, 30 Ogos 2010.

Sabrina Adnan, 32, yang merupakan Pengarah di Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi berkata, panggilan itu diterima selepas dia berbuka puasa di rumah keluarganya di Kelana Jaya, dekat sini. Beliau menambah, Ahmad Kamil memberitahu beliau tidak akan pulang ke rumah selama tiga hari kerana mahu membantu Sosilawati yang dikatakan diugut oleh pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin atau lebih dikenali sebagai Kamal.

"Saya tanya dia nak ke mana, tetapi tidak dijawab. Dia tanya saya Ok atau tidak nak jaga anak-anak dan saya jawab Ok. Jadi, suami saya kata, kalau Ok tak apalah," katanya yang kelihatan sugul sepanjang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Katanya lagi, semasa itu suara suaminya kedengaran seperti tergesa-gesa dan kedengaran suara lelaki yang garau di bahagian belakang. Selepas panggilan itu, Sabrina sekali lagi cuba untuk menghubungi Ahmad Kamil sebanyak empat atau lima kali, bagaimanapun semua panggilan itu tidak dijawab.

"Dia tidak pernah macam itu. Kalau dia sibuk sekali pun, dia akan angkat panggilan saya. Kalau bateri telefonnya mati, dia akan guna telefon orang lain seperti kawan-kawannya untuk menelefon saya beritahu baterinya tiada," katanya yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan pentadbiran perniagaan. Sabrina dan Ahmad Kamil berkahwin pada 15 Januari 2005 dan dikurniakan tiga anak.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani, saksi berkata kali terakhir mereka berjumpa adalah semasa hendak meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja. "Saya memandu kereta sendiri jenis Nissan Murano. Suami saya sebenarnya menaiki kereta Audi tetapi pada pagi itu, dia telefon saya bertanyakan kunci Audi di mana dan saya dapati ia berada dalam tas tangan saya. Disebabkan itu, suami saya menaiki kereta BMW bernombor pendaftaran AAJ 5," katanya.

Katanya lagi, pemergian suaminya ke Banting telah diberitahu sejak dua hari sebelum kejadian yang menggemparkan negara itu berlaku. Pada pukul 4 petang, 30 Ogos 2010, Sabrina turut menerima panggilan telefon daripada Ahmad Kamil yang mengingatkannya bahawa beliau tidak akan pulang ke rumah untuk berbuka puasa.

Katanya lagi, sejak malam 30 Ogos 2010, beliau tidak lagi mendengar berita daripada suaminya, dan setiap panggilannya yang dibuat setiap hari turut tidak dijawab. "Selepas tiga hari, saya membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields, yang merupakan balai terdekat dengan kondominium kami," tambahnya.

Peguam Amer Hamzah Arshad pada soal balas menimbulkan mengapa saksi menunggu sehingga tiga hari untuk membuat laporan polis dan tidak membuat tindakan untuk mencari mangsa dalam tempoh tersebut. Sabrina menjawab: "Saya berpegang kepada katanya yang akan pulang dalam masa tiga hari."

Pada prosiding sama, Sabrina turut mengenal pasti telefon BlackBerry Bold berwarna putih dan jam tangan buatan Switzealand, Bell & Ross berharga lebih RM16,000 yang dibeli oleh suaminya di Pavillion, Kuala Lumpur. Ahmad Kamil membeli jam tangan itu dengan ditemani oleh abang dan seorang rakan.

Ketika ditanya oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir, Sabrina memberitahu beliau diberitahu oleh abang iparnya bahawa jam tersebut mempunyai no siri dan jam tersebut adalah edisi terhad dan boleh diketahui bila kali terakhir ia berfungsi sekiranya dihantar semula ke kedai.

Sabrina sedang memberi keterangan pada hari ketiga perbicaraan terhadap peguam, N. Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Khatavarayan, 31, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin, 44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 8.30 dan 9.40 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting. Perbicaraan akan bersambung Khamis. - mStar Online

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails