VVIP DENAI CINTA

26 Julai 2011

Temui Banyak Pisau Di Dalam Sungai

SHAH ALAM, 25 Julai 2011: Penyelam Pasukan Gerakan Marin, Pulau Pinang mengakui bahawa pencarian yang dilakukannya di Sungai Panchau, Banting, dekat sini menemui lebih daripada sebilah pisau. Lans Koperal Muhamad Hazriman Ismail, 29, memberitahu bahawa, dia menemui banyak pisau yang dibuang di dasar sungai itu. Bagaimanapun pisau yang tidak berkenaan dicampakkan semula ke dalam sungai.

Ketika ditanya oleh peguam Manjeet Singh Dhillon di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, saksi pendakwaan ke-30 itu juga mengakui bahawa dia tidak pasti jumlah pisau yang diletakkan kembali ke sungai.

Manjeet : Waktu kamu membuat pencarian di dalam sungai, adakah kamu menggunakan sarung tangan?
Muhamad Hazriman : Saya tidak menggunakan sarung tangan.
Manjeet : Pasukan forensik tidak arahkan kamu untuk memakai sarung tangan?
Muhamad Hazriman : Dia ada suruh pakai.
Manjeet : Tetapi kamu tidak peduli? Hanya buat sesuka hati? Tidak mahu ikut arahan?
Muhamad Hazriman : Saya tidak pakai sarung tangan.

Sementara itu, menjawab soalan peguam Amer Hamzah Arshad, saksi yang mempunyai pengalaman sebagai penyelam selama empat tahun mengakui bahawa dasar sungai tersebut mempunyai banyak barang berunsurkan logam. Dia juga bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah bahawa, satu sebab mengapa dia berhenti menggunakan alat pengesan logam semasa membuat pencarian di dalam sungai.

Amer Hamzah : Jadi ia bukan sesuatu yang luar biasa jika terjumpa banyak logam-logam di sungai-sungai yangg terdapat di Banting?
Muhamad Hazriman : Ya.

Perbicaraan yang masuk hari ke-10 pada Isnin juga menyaksikan rakan setugas Muhamad Hazriman, Lans Koperal Kesatoper Wine Anak Assan memberitahu bahawa pihaknya tidak pernah menjumpai kayu kriket sepanjang pencarian dilakukan.

Soalan berhubung kayu kriket itu diajukan oleh Manjeet yang merujuk kepada kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd Bakri Zinin yang didakwa beliau telah memberikan kenyataan berhubung penemuan kayu kriket itu.

Muhamad Hazriman dan Kesatoper Wine sedang memberi keterangan terhadap bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyangan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31, yang didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Selain itu, mereka juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44, yang didakwa hilang bersama Sosilawati. Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di sebuah ladang beralamat lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini. Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung pada Selasa (26/07/2011). - mStar Online

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails