VVIP DENAI CINTA

03 April 2011

Penulis Lirik Seri Bayu Meninggal Dunia Akibat Sakit Saraf

BERNAMA
PORT DICKSON, 3 April : Penulis lirik, Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaludin Sulik, meninggal dunia Sabtu di Hospital Port Dickson selepas menderita sakit saraf selama enam tahun. Menurut sahabat baik penulis lirik itu, Azmi Zahari, Allahyarham meninggal pada 8.15 malam akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

"Beliau dimasukkan ke hospital di sini kerana semasa kejadian, Seri Bayu tinggal bersama abang angkatnya di Kampung Teluk di sini. Sebelum ini, Allahyarham dijaga oleh adik angkatnya di Serdang," kata Azmi yang juga Exco Pertubuhan Insan Prihatin kepada Bernama.

Allahyarham yang berasal dari Singapura akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12, Kampung Teluk di sini, selepas waktu Zuhur pada Ahad. Seri Bayu pernah mendirikan rumahtangga sebanyak dua kali dan dikurniakan lima anak dengan isteri pertama. Beliau pernah mencipta lagu untuk Jamal Abdillah dan Anita Sarawak.

SERI BAYU MENINGGAL DUNIA AKIBAT SAKIT SARAF
PETALING JAYA : Penulis lirik Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaludin Sulik, 47, meninggal dunia di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan akibat penyakit saraf motoneuron. Seri Bayu meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 malam Sabtu selepas dimasukkan ke hospital itu Jumaat.

Anak angkatnya Sarina Abd Ghani, 29, yang dihubungi mStar Online memberitahu Allahyarham semakin tenat sejak beberapa hari lalu dan di masukkan ke hospital apabila keadaannya semakin kritikal. "Semalam (Jumaat) keadaan dia semakin teruk menyebabkan kami terpaksa membawanya ke hospital," katanya.

Menurut Sarina, keluarga termasuk ibu bekas isteri serta anak-anaknya tidak dapat dihubungi bagi memaklumkan hal berkenaan. Katanya jenazah dijadual akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Batu 12 Tok Pelanduk, Port Dickson selepas solat Zohor.

Seri Bayu yang pernah menghasilkan lirik Cintaku Muzik Di Hatimu nyanyian Anita Sarawak pernah berkahwin sebelum ini termasuk dengan penyanyi Erema. Bagaimanapun Erema menuntut cerai daripadanya pada tahun 2008 dan kes berkenaan masih lagi berjalan di mahkamah berikutan Seri Bayu enggan melepaskan isterinya itu.

Seri Bayu meninggalkan lima orang anak hasil perkahwinan dengan isteri pertama iaitu Muhamad Akmal, 16, Muhamad Aiman, 15, Muhamad Aizam, 12, Ally Farjana, 10, dan Muhamad Adham, 8.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails