VVIP DENAI CINTA

21 Mei 2011

Peranan HERO Keluarga

| myMetro | Hariyati Ariffin | Penulis adalah Pensyarah UiTM Shah Alam |
LELAKI adalah insan hebat yang dipilih Allah untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Dalam institusi kekeluargaan, lelaki memainkan peranan penting memastikan keharmonian keluarga, kesejahteraan dan hala tuju keluarga dalam mencapai matlamat hidup yang sempurna dan bahagia. Bersesuaian dengan firman Allah dalam al-Quran yang mengatakan; "Lelaki itu adalah pemimpin terhadap perempuan." | Surah al-Nisa’ | Ayat 34 |

Bertepatan dengan firman Allah di atas dan sempena Hari Bapa yang akan diraikan pada 17 Jun ini, lelaki di seluruh dunia sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat sebagai hero kepada anak-anak dan isteri mereka. Bapa yang bertanggungjawab dan suami penyayang serta menjadi pelindung keluarga akan mewujudkan suasana syurga dalam rumah tangga.

Dalam kaitan yang sama budaya masyarakat Cina kebiasaannya lebih mengutamakan anak lelaki berbanding perempuan kerana menurut kepercayaan mereka anak lelaki adalah penyambung zuriat dan keturunan serta menjadi pelindung keluarga. Dalam masyarakat kita juga ada segelintir yang begitu taksub dengan anak lelaki sehingga ada kalanya terlepas pandang keistimewaan anak perempuan.

Jelaslah, jika dilihat secara umum tanggungjawab yang digalas lelaki amat berat dan besar dalam menentukan kestabilan institusi kekeluargaan yang secara tidak langsung akan membawa kesejahteraan masyarakat secara umumnya.

Sebagai suami dan bapa, lelaki adalah nakhoda rumah tangga, yang perlu bijak mengemudikan bahtera keluarganya dalam kehidupan yang serba mencabar, lebih-lebih lagi di zaman siber yang serba canggih dan pantas ini. Kegagalan seseorang bapa mengendalikan rumah tangganya dengan bijak akan menyebabkan bahtera keluarganya karam dipukul ombak dan badai lautan kehidupan yang ganas.

Justeru, sebenarnya bukan mudah menjadi bapa dan suami yang bertanggungjawab serta mampu melahirkan sebuah keluarga bahagia. Amanah menjaga keluarga yang diberikan Allah kepada kaum Adam ini amat berat tanggungjawabnya. Hanya mereka yang memahami amanah ini dapat melakukannya dengan baik dan sempurna.

Namun sejak akhir-akhir ini kita sering didedahkan kehidupan yang menjurus kepada konflik keluarga dan keruntuhan rumah tangga yang amat membimbangkan di kalangan masyarakat. Secara tidak langsung ia memberi kesan terhadap masa depan generasi akan datang dan kualiti pembinaan insan yang akan menentukan hala tuju kehidupan masyarakat.

Hipotesis yang mengatakan lelaki bertanggungjawab dan dianggap sebagai pelindung kepada keluarga, anak-anak dan isteri di zaman ini sudah berkurangan, malah lelaki yang berkualiti juga sudah semakin 'pupus'. Kegagalan golongan Adam menjalankan tanggungjawab dan amanah Allah sebagai bapa dan suami juga dikatakan antara punca keruntuhan institusi kekeluargaan dan penyebab kepada gejala sosial yang berleluasa masa kini.

Secara kasarnya kenyataan ini mungkin juga ada kebenarannya. Banyak faktor lain yang menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan masa kini. Namun, apa yang ingin ditekankan di sini ialah peranan sebenar lelaki dalam memastikan keharmonian rumah tangga.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim pernah berkata, statistik perceraian semakin meningkat setiap tahun dan sangat membimbangkan masyarakat kita. Ini jelas menunjukkan kegoyahan institusi perkahwinan di negara kita.

Malah, katanya lagi, berdasarkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), golongan lelaki lebih ramai membuat 'perangai' sehingga mendorong isteri memfailkan perceraian. Kajian itu mendapati 5,345 daripada 8,241 punca perceraian adalah disebabkan kaum Adam.

Sementara itu, Peguam bela dan Peguam cara Tengku Naufal & Co, Dr Tengku Naufal Tengku Mansor, berkata statistik kes keganasan rumah tangga terhadap wanita secara puratanya meningkat dari setahun ke setahun. Malah, lebih 90 peratus kes keganasan rumah tangga dilakukan lelaki (suami) terhadap isteri, manakala hanya lima peratus kes wanita mengasari lelaki.

Menurut Tengku Naufal, wanita selalu menderita dalam diam kerana ada antaranya yang terpaksa merahsiakan penderitaan yang dilalui kerana ingin menjaga maruah keluarga dan suami. Mereka juga ada kalanya tersilap tafsir terhadap tanggungjawab suami sehingga rela dianiaya kerana beranggapan suami berhak melakukan seumpama itu.

Disebabkan ada wanita tidak tahu hak mereka atau sesetengahnya sudah malas dan penat mencari keadilan menyebabkan ada segelintir lelaki beranggapan menjadi pemimpin kepada keluarga adalah lesen bagi mereka berbuat sesuka hati untuk melakukan perkara zalim terhadap anak dan isteri serta mempunyai kuasa veto dalam apa juga keputusan keluarga.

Ada kes suami yang tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak dengan alasan isteri bergaji besar daripada suami. Adakalanya isteri dan anak-anak hidup tertekan tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana si ayah atau si bapa tidak mahu berubah walaupun sudah lama berkahwin. Ramai juga pasangan yang tidak mahu perpecahan dalam keluarga membiarkan saja persoalan seumpama itu sehingga mereka tua.

Namun, ada kalanya kesan terhadap kegagalan ayah dan suami yang tidak bertanggungjawab dalam keluarga menjadikan konflik keluarga berpanjangan hingga menimbulkan rasa kurang hormat anak-anak terhadap ayah menyebabkan mereka mempunyai pandangan tersendiri terhadap kaum Adam.

Berdasarkan itu, hipotesis atau andaian yang mengatakan lelaki yang benar-benar berkualiti sebagai bapa dan suami bertanggungjawab pada zaman sekarang sudah mula mengalami kepupusan mungkin benar.

Justeru, tidak hairanlah jika ada wanita yang sanggup berkongsi kasih dengan dua atau tiga wanita lain bersama seorang suami atau lelaki yang mereka anggap paling bertanggungjawab dan boleh membahagiakan mereka. Namun, hakikatnya yang banyak berlaku masa kini ialah poligami lebih menjurus kepada masalah ketidakadilan dan perpecahan keluarga berbanding kesejahteraan dan keharmonian keluarga.

Mungkin lelaki boleh berbangga sebab mampu memiliki lebih daripada seorang isteri, namun hakikat perkahwinan itu sendiri hanya diketahui oleh mereka yang empunya diri. Begitu juga lelaki yang suka kahwin dan cerai, ada kalanya mereka terus mengabaikan anak-anak daripada bekas isteri kerana mereka sekarang punya tanggungjawab baru untuk digalas.

Daripada kes yang sudah biasa kita dengar ini jelaslah bahawa menjadi bapa dan suami yang bertanggungjawab bukan semudah yang disangka. Menukar keluarga juga bukan semudah menukar pakaian atau menukar kereta. Kesan perceraian dan kesan terhadap perbuatan bapa yang tidak bertanggungjawab memberi impak kepada masalah sosial.

Ada anak-anak yang hidup menderita kerana ayah suka mementingkan diri dan berasa mereka berhak menentukan banyak perkara dalam keluarga. Akibatnya berlaku masalah sosial kerana anak-anak mencari sesuatu terhadap penderitaan hidup mereka akibat konflik keluarga hingga terjerumus ke lembah yang tidak diingini.

Allah berfirman bermaksud; "Wahai orang-orang yang beriman!
Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka."
| Surah Tahrim | Ayat 6 |


Oleh itu, sebagai pemimpin dan pelindung keluarga lelaki harus bijak memainkan peranan membimbing keluarga, memberi kasih sayang, memelihara keimanan keluarga, menjadi contoh terbaik bagi ahli keluarga, melengkapkan diri dengan kemahiran keibubapaan selari dengan peredaran zaman dan mempunyai ilmu pengetahuan yang boleh membimbing keluarga ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat.

Pepatah Melayu mengatakan 'ikut hati mati, ikut nafsu lesu'. Semoga lelaki muhasabah diri memikirkan kembali tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan Allah kepada mereka.

Manusia mudah lupa, justeru tidak salah kita saling mengingatkan antara satu sama lain, mengenai tanggungjawab yang harus dipikul oleh bapa demi kesejahteraan keluarga dan negara. Harus juga diingat bahawa keharmonian keluarga adalah asas kesejahteraan masyarakat, negara dan umat manusia secara keseluruhan.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails