VVIP DENAI CINTA

14 Mei 2011

Penyanyi Veteran Era 60-an Orchid Abdullah Meninggal Dunia

Pemergian Penyanyi Asal Penawar Rindu, Kehilangan Besar Persada Seni Tanah Air
KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) : Pemergian biduanita yang terkenal dengan lagu 'Penawar Rindu' pada era 60-an, Datin Orchid Abdullah, 64, adalah satu kehilangan besar kepada persada seni tanah air. Kehilangan penyanyi anak kelahiran Johor berdarah kacukan Arab dan Inggeris itu pastinya dirasai ramai, terutama peminat muzik keroncong dan ghazal.

Orchid menghembuskan nafas terkahir pada pukul 12.40 tengah hari di Hospital Ampang di sini setelah menderita penyakit ketumbuhan hormon tidak stabil (paraganglioma) sejak tiga tahun lepas. Walaupun telah agak lama meninggalkan pentas seni, penderitaannya tetap mendapat perhatian peminat dan rakan artis, termasuk anggota Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang menziarah penyanyi itu ketika sedang uzur.

Sebelum lagu-lagunya berkumandang di corong radio pada tahun 60-an dan 70-an, Orchid pernah menabur bakti sebagai guru, termasuk guru sementara di Sekolah Sri Mersing, Mersing, Johor. Menurut beberapa blog, Orchid mula dikenali ramai pada tahun 1965 selepas membuat persembahan pertama di peringkat kebangsaan sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia.

Allahyarhamah merakam album pertama pada 1966 dan sering membuat persembahan dengan diiringi kumpulan The Les Coaters. Namun, nama Orchid sinonim dengan lagu 'trademark'nya Penawar Rindu, sebuah lagu cinta yang dinyanyikan beliau dengan penuh perasaan.

Ketika pentas seni negara kini diwarnai dengan kehadiran artis muda yang mengalunkan pelbagai genre lagu, kelunakan suara biduanita itu tetap tersemat di ingatan peminatnya tua dan muda. Walaupun lagu Penawar Rindu pernah dinyanyikan oleh beberapa penyanyi lain, keunikan dan lenggok suara Allahyarhamah ketika menginterpretasikan lagu itu tetap digemari dan menjadi pilihan pendengar.

"(Saya) tetap suka suara Datin Orchid walaupun sudah ramai orang lain yang nyanyi... menusuk jiwa," komen seorang peminat di laman YouTube yang memaparkan klip video lagu itu. Walaupun sebuah lagu lama, ia tetap gubahan yang malar segar dan mendapat puluhan ribu 'hits' di YouTube.

Allahyarhamah meninggalkan suami Datuk Mokhtar Omar, 70, dan empat anak iaitu Nur Shalina, 42, Md Nor Shareen, 39, Mohd Noor Shafri, 35 dan Nur Shafinaz, 31. Jenazah Orchid dimandikan di hospital itu dan dibawa ke Masjid As Sobirin, AU1, Keramat di sini untuk disolatkan dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat AU1 di sini selepas solat Asar.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails