VVIP DENAI CINTA

21 September 2010

SELAMAT BERJUANG KEPADA 494,493 CALON UPSR 2010!!!

DOAKAN KEJAYAAN PELAJAR
KUALA LUMPUR, 21 Sept [Harakahdaily] :
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh mendoakan seluruh murid tahun enam yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dapat menjawab soalan dengan baik dan diberi kejayaan yang cemerlang. Nuridah mengingatkan mereka agar menjaga kesihatan sepanjang tempoh peperiksaan yang bermula hari ini sehingga Khamis ini.

"Kepada para pelajar saya ucapkan selamat menghadapi peperiksaan UPSR dengan tenang dan semoga berjaya dengan cemerlang. Sepanjang musim peperiksaan ini jagalah kesihatan, tidur awal agar dapat bangun awal dan membuat persediaan rapi sebelum masuk ke dewan peperiksaan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily pagi ini.

Nuridah yang juga Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan turut memberikan beberapa petua yang diamalkan sepanjang menghadapi peperiksaan. "Kalau boleh dapat amalkan masa kita keluar rumah, pandang langit dan doa yang bermaksud Allah Yang Maha Hidup, Yang Berdiri Sendiri, hujanilah daku dengan rahmat-Mu."

"Dan sepanjang perjalanan bacalah surah Al-Insyirah banyak-banyak, selawat ke atas Nabi, dan minta ampun dari ibu bapa dan guru-guru," pesannya. Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar mengawasi anak-anak yang menduduki peperiksaan dan sentiasa mendoakan kejayaan mereka.

...................................

Lebih 490,000 Duduki UPSR Tahun Ini
KUALA LUMPUR, 21 Sept [Bernama] : Seramai 494,493 calon menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah(UPSR) yang bermula Selasa hingga Khamis. Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dalam satu kenyataan di sini berkata daripada jumlah itu, 373,190 adalah calon sekolah kebangsaan, 96,166 dari sekolah jenis kebangsaan Cina (SJK(C)) dan 16,965 dari SJK Tamil. Turut menduduki UPSR hari ini ialah 8,163 calon Sekolah Swasta Pengantar Bahasa Melayu dan sembilan pelajar dari Sekolah Swasta Pengantar Bahasa Cina.


Di KUANTAN, seramai 26,936 pelajar Tahun Enam menduduki UPSR di seluruh negeri termasuk 81 calon daripada golongan kelainan upaya. Pengarah Pelajaran Pahang Datuk Abdul Aziz Abdul Latif ketika ditemui pemberita selepas meninjau Sek Keb Permatang Badak di sini, berkata beliau berharap jumlah pelajar yang lulus dalam semua subjek pada kali ini akan meningkat berbanding 68.39 peratus tahun lepas.

Di KUALA TERENGGANU, seramai 23,533 murid Tahun Enam menduduki UPSR di 371 pusat peperiksaan melibatkan 354 buah sekolah di seluruh negeri, kata Pengarah Pelajaran negeri Ariffin Embong. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman ketika dihubungi berkata beliau yakin sasaran Terengganu untuk mencapai 20 peratus A dalam semua mata pelajaran akan tercapai. Ia berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan yang mencatatkan 29 peratus pelajar mendapat gred A dalam semua mata pelajaran, katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails