VVIP DENAI CINTA

29 September 2010

Kes Sosilawati : Siasatan Diteruskan Dan Media Jangan Salah Lapor

PUTRAJAYA, 28 Sept [Bernama] : Pengarah Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara mengenai kertas siasatan kes Sosilawati dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

"Kita mempunyai kertas siasatan yang boleh dianggap sebagai mantap, tetapi terpulang kepada perbincangan kita dengan pihak Jabatan Peguam Negara. Iaitu sama ada mereka memerlukan kami untuk mencari bahan-bahan tertentu lagi dalam siasatan kami terhadap kes ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah terbuka Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya mengenai laporan DNA kes itu, Mohd Bakri berkata polis masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak memberi tekanan kepada Jabatan Kimia berhubung perkara itu kerana mereka memerlukan masa bagi menjalankan tugas yang rumit.

"Kita mesti berikan mereka masa, pakar patologi, Jabatan Kimia, bagi menganalisis tulang yang kita jumpa. Untuk mendapatkan DNA, bukanlah sesuatu yang mudah," katanya.
Mohd Bakri juga mengulangi amaran bahawa polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemberita yang salah melaporkan kes Sosilawati.

"Saya mesti memberi amaran kepada anda (pemberita) kerana saya akan mengambil tindakan sewajarnya, kami telah memberikan peluang secukupnya bagi anda mendapatkan maklumat, namun bukan untuk menulis sesuatu yang tidak benar, jika tidak, kami akan mengambil keterangan daripada anda," katanya.


Sementara itu, Mohd Bakri berkata polis akan melawat beberapa lokasi lagi di sekitar Ladang Gadong, Banting untuk mencari bukti terbaru berhubung kes yang melibatkan suspek kes pembunuhan Sosilawati, berdasarkan beberapa petunjuk baru yang muncul dalam siasatan mereka.


"Anda semua perlu ingat, kita menyiasat dalam dua aspek, satu kes yang kita siasat sekarang iaitu kes (pembunuhan) Sosilawati bersama tiga orang, dan satu lagi ialah berkenaan kehilangan tiga orang, dan satu kes pembunuhan yang berlaku di Banting," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails