VVIP DENAI CINTA

28 September 2010

RITA TEKAD TERUSKAN LEGASI IBUNYA

KUALA LUMPUR, 28 Sept [Bernama] : Anak sulung jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Dekritawati Bukhari, 25, bertekad meneruskan legasi ibunya agar kehidupan beliau dan adik-adiknya lebih terjamin. Beliau yang lebih dikenali sebagai Rita, mengaku telah bersedia menghadapi cabaran sebagai ahli perniagaan berjaya bagi menyambung usaha yang ditinggalkan ibunya.

Rita berkata walaupun ada pihak yang mungkin mempertikaikan keupayaannya berikutan usia yang masih muda, beliau menegaskan mampu berdepan cabaran tersebut hasil didikan dan tunjuk ajar ibunya. "Saya ingin tegaskan yang saya sudah bersedia untuk mengalaminya. Saya tak risau. Kita bersaing secara sihat," katanya yang turut menjadikan ayahnya, Buhari Mohamad sebagai mentor, selain Sosilawati.

Rita yang turut ditemani teman rapat iaitu penyampai berita Bernama TV Zulkifli Bujang, berkata keluarganya kini belajar menerima hakikat apa yang telah berlaku terhadap ibu mereka, dan sebagai kakak sulung, beliau perlu kuat bagi memastikan kelima-lima adiknya tidak bersedih serta mampu meneruskan hidup seperti biasa.

"Kami sekeluarga sedang menerima kenyataan, tetapi tetap bersedih dengan pemergian ibu. Ada niat ibu separuh jalan, terutama hal mengenai perniagaannya... dan saya akan teruskannya," katanya yang kelihatan cukup tenang ketika menjawab soalan peneraju 'Kerusi Panas' Azlan Idris di Radio 24 Isnin malam.

Rita turut ditanya dari mana beliau memperoleh kekuatan untuk meneruskan kehidupan sehari-hari selepas polis mengesahkan bahawa ibunya telah mati dibunuh dengan kejam.
"Sokongan adik-beradik, rakan-rakan dan masyarakat Malaysia menjadi penguat. Saya rasa semua orang sokong saya," katanya.

Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap media yang baru-baru ini mendedahkan perihal aset syarikat ibunya. "Saya begitu kesal dengan laporan media yang mengeluarkan fakta yang bukan-bukan mengenai aset yang dimiliki ibu...saya sudah memberitahu beberapa individu daripada media, di mana segala maklumat yang dilaporkan perlu dirujuk kepada polis," katanya.

Walaupun gerak-geri beliau yang sentiasa ditemani penyampai berita televisyen itu menjadi buah mulut orang ramai, Rita enggan mengulas mengenai hubungannya dengan Zulkifli selagi kes pembunuhan ibunya belum selesai. "Perlu ke kita cakap hal ini... saya rasa tidak perlu persoalan ini, biarlah isu mengenai pembunuhan ibu saya diselesaikan dahulu," katanya.

Rita juga berkata beliau akan meminta nasihat peguam jika masih terdapat laporan mengenai ibunya tidak kira sama ada negatif atau positif. "Saya minta pada pihak media supaya tidak membuka segala privasi dan cuba menghormati privasi saya sekarang. Kami tidak mahu apa yang kami cakap sekarang, akan menjadi akibat pada masa akan datang," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberi sokongan sejak kes pembunuhan ibunya bersama tiga individu lain tersebar. Sosilawati, 47, pemandu peribadi Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah. Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails