VVIP DENAI CINTA

15 September 2010

Tindakan Tegas Oleh SKMM Terhadap Penyalahgunaan Internet

KUALA LUMPUR, 14 Sept : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan perkhidmatan komunikasi sebagai platform untuk menggugat keharmonian dan sensitiviti masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

SKMM berkata pihaknya telah mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas laman web, blog dan portal berita atas talian yang didapati melanggar peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.


Akta itu memperuntukkan kesalahan mengikut Seksyen 211 atau 233 berkaitan pemberian kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang atau orang lain.

"Tindakan penguatkuasaan yang diambil termasuk mengeluarkan notis atau amaran, menyekat laman web atau blog mengikut Seksyen 263(2) dan memulakan siasatan berdasarkan peruntukan akta berkenaan," kata SKMM dalam satu kenyataan di sini Selasa.

Tindakan turut diambil untuk mendakwa pesalah di mahkamah dengan persetujuan Peguam Negara selain tindakan diambil ke atas kandungan dan aktiviti di internet berdasarkan jenis kesalahan yang dilakukan dan undang-undang di bawah bidang kuasa masing-masing.

SKMM menasihatkan agar semua pengguna ICT lebih rasional dan bijak memanfaatkan kemudahan ICT seperti internet agar tidak terkeliru ataupun terpengaruh dengan unsur-unsur negatif yang cuba disalurkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

"Pemilihan dan perkongsian maklumat dan informasi yang baik dan positif melalui internet adalah tanggungjawab kita bersama dan pihak SKMM berharap internet dapat digunakan sebagai wadah untuk membangunkan masyarakat dan negara," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, sebuah pasukan khas telah diwujudkan bersama polis berhubung isu untuk menangani ancaman terhadap keselamatan dan perpaduan negara menerusi internet ekoran penerimaan 533 aduan salah guna internet seperti Facebook dan Twitter. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails