VVIP DENAI CINTA

11 Februari 2011

Tok Guru Akui Tandas Masjid Di Kelantan Kotor

Mengakui kesilapan dan kelemahan bukan bermakna seseorang itu lemah. Bahkan ramai di kalangan kita yang ego sehingga tidak mahu mengakui kelemahan diri. Kagum dengan pengakuan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengakui kelemahan pentadbiran masjid di negeri Kelantan terutamanya yang berkait dengan kebersihan tandas-tandasnya. JIKA DIPERHATIKAN, permasalahan tandas kotor ini bukan hanya terjadi di negeri Kelantan, bahkan di negeri-negeri lain tahap kebersihan tandasnya juga mengecewakan.

KOTA BAHARU, 11 Feb : Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui kebanyakan tandas masjid di negeri ini masih kotor kerana tiada peruntukan untuk menyelenggarakannya. Mursyidul Am PAS itu turut kesal dengan tindakan umat Islam di Kelantan yang mengabaikan aspek kebersihan di tandas masjid, kerana keadaan tersebut memberi gambaran negatif kepada pelawat sekali gus menjejaskan imej agama Islam yang mementingkan kebersihan.

"Kita akui tahap kebersihan kebanyakan tandas di masjid-masjid di negeri ini masih rendah kerana jawatankuasanya tidak mengendalikannya dengan baik disebabkan tiada peruntukan khusus untuk penyelenggaraan," katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, di sini pada Jumaat. Nik Abdul Aziz seterusnya meminta jawatankuasa masjid agar menyediakan peruntukan khas bagi memastikan tandas dan bilik air di masjid-masjid di negeri itu sentiasa bersih dan memberi keselesaan kepada jemaah dan pengunjung.

Beliau turut meminta umat Islam menjimatkan peruntukan untuk sambutan seperti Maulidur Rasul dan menyumbangkan sebahagian daripadanya ke masjid bagi tujuan penyelenggaraan tandas. "Masalahnya sekarang tiada peruntukan khusus untuk membayar gaji kakitangan untuk menjaga kebersihan tandas di masjid, menyebabkan masalah kekotoran tandas masjid tidak dapat diatasi sejak sekian lama," katanya. Nik Abdul Aziz sebelum ini pernah meluahkan kekecewaannya berhubung tahap kesedaran masyarakat Kelantan yang masih rendah dalam menjaga kebersihan persekitaran mereka.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails