VVIP DENAI CINTA

28 Februari 2011

Anggota Polis Diperintah Bela Diri Kes Kematian Aminulrasyid

Bernama
SHAH ALAM, 28 Feb : Mahkamah Sesyen di sini Isnin memerintahkan seorang anggota polis, Koperal Jenain Subi membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, pada April tahun lepas. Hakim Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Jenain yang memakai kemeja lengan pendek berwarna merah dan berkopiah kelihatan tenang sejurus keputusan dibacakan manakala ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad, 62, yang duduk di galeri awam dilihat mengesat air mata.

Mahkamah menetapkan 14 dan 15 April depan untuk Jenain membela diri dan tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi. Jenain, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April tahun lepas di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya. Seramai 39 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dan sebanyak 191 eksibit dikemukakan kepada mahkamah sepanjang perbicaraan yang bermula pada 12 Okt tahun lepas .

Dalam penghakimannya, Latifah berkata tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan kematian apabila melepaskan tembakan di Jalan Tarian 11/2 di mana kereta Proton Iswara BET 5023 yang dipandu mangsa sudah tidak lagi agresif dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata tiada tindakan oleh kereta dipandu Aminulrasyid membahayakan kereta peronda MPV polis yang mengejarnya apatah lagi kereta Iswara itu telah memasuki kawasan perumahan dan dalam keadaan terhoyong-hayang serta berada dalam kelajuan antara 60km dan 70 km sejam.

"Sebagai anggota polis, adalah wajar untuk tertuduh tahu bila tembakan dilepaskan dan terkena pada sasaran ia boleh menyebabkan kematian. Apatah lagi dalam keadaan kes ini tembakan dilepaskan oleh senjata sub mesingan."

"Setelah mengambil kira keseluruhan keadaan kes dan penilaian maksimum, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya buktikan kes prima facie terhadap tertuduh di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan tertuduh diperintah membela diri," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Idham Abd. Ghani, Mohd Dusuki Mokhtar dan Adilla Ahmad sementara tertuduh diwakili peguam M Athimulan dan Salim Bashir. Terdahulu, mahkamah dipenuhi anggota keluarga tertuduh dan Aminulrasyid termasuk ibu, abang dan dua kakak mangsa yang hadir untuk mengetahui keputusan kes itu.

N Surendran yang merupakan peguam pemerhati bagi keluarga Aminulrasyid ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata pihaknya berpuas hati dengan keputusan mahkamah. "Selama ini kita mohon keadilan, bukan mendendam," katanya. Norsiah ketika ditemui bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails