VVIP DENAI CINTA

02 Februari 2011

Pekerja Ladang Lupus Mayat Sosilawati Minta Tukar Peguam

SHAH ALAM, 31 Jan : Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sedang mendengar permohonan semakan hukuman dan sabitan ke atas pekerja ladang, K. Sarawanan pada Isnin dikejutkan dengan tindakan U. Suresh yang mengumumkan hasratnya ingin menukar peguam belanya. Suresh, 27, yang dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, Oktober lepas kerana melupuskan mayat jutawan Kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47 dan tiga yang lain, berbuat demikian daripada kandang salah kira-kira pukul 4.05 petang Isnin.

Tiga lagi mayat yang dilupuskan ialah Pegawai Bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38 peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Ketika itu, Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki sedang mendengar hujahan peguambela Sarawanan, Harpal Singh Grewal di dalam rayuan semakan hukuman dan sabitan ke atas pekerja ladang itu. Sarawanan, 20, turut dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun kerana melupuskan mayat Sosilawati dan tiga yang lain.

"Saya mahu tukar peguam tuan," sambil berdiri dan mengangkat tangan kanannya dari kandang tertuduh, kata Suresh. Mohtarudin yang sedang tekun mendengar hujahan Harpal terhenti seketika dan berkata "saya tidak akan kata tidak, ia adalah hak anda."

Sebelum ini, Suresh diwakili oleh peguambela M. Puravelan yang turut hadir pada prosiding hari ini. Suresh memberitahu mahkamah bahawa dia ingin melantik peguam A.S. Dhaliwal yang turut mewakili Sarawanan dalam prosiding hari ini. Katanya pada minggu lepas, ibunya telah pergi ke pejabat Dhaliwal dan menyatakan hasrat untuk melantik Dhaliwal mewakilinya tetapi tiada sebarang keputusan dibuat.

Apabila ditanya oleh hakim sama ada beliau menerima Suresh sebagai anak guamnya, Dhaliwal berkata beliau bersetuju tetapi memerlukan masa lima minit untuk mendapatkan arahan selanjutnya dari Suresh. Mohtarudin kemudian memerintahkan prosiding itu ditangguhkan selama lima minit.

Selepas itu, Dhaliwal berkata; "saya mendapat arahan dari Suresh, beliau mahu membuat laporan polis untuk keselamatan dirinya." Puravelan kemudian berkata beliau akur dengan keputusan Suresh dan keluar meninggalkan mahkamah selang beberapa minit kemudian. Mohtarudin kemudian menetapkan tarikh pendengaran semakan hukuman itu pada 9 Februari ini.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails