myMetro 27.02.2011
KUALA LUMPUR : "Buat masa ini saya tidak mahu komen apa-apa. Kalau diminta hadir ke mahkamah bagi meneruskan kes tuntutan wang dan pelaburan saham amanah yang diberikan bekas isteri, saya akan memenuhinya," kata Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, 52.Sebelum ini, arwah Datuk Sosilawati Lawiya memfailkan tuntutan harta bernilai RM1.38 juta sebelum kematiannya, September tahun lalu terhadap bekas suaminya. Bagaimanapun, sebelum kes itu dapat diteruskan, Sosilawati ditimpa musibah yang turut menggemparkan seluruh negara. Menurut Nash, walaupun kes berkenaan difailkan bekas isterinya, anak arwah masih boleh meneruskan perbicaraan mengenai perkara itu.
"Saya tidak mahu perkara ini berlanjutan tanpa penyelesaian. Begitupun, saya akan berjumpa Rita (Erni Dekritawati Buhari) untuk berbincang mengenai perkara ini. Hubungan saya dengan anak (arwah) masih baik. Walaupun kes ini di antara saya dan arwah, saya faham jika mereka mahu meneruskannya kerana ia hajat arwah ibu mereka," katanya.
Nash berkata, tiada perkara yang tidak boleh diselesaikan, begitu juga dengan kes berkenaan. "Yang boleh dikatakan, saya akan berhubung dengan Rita dan adik-beradiknya yang lain dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kekusutan ini. Saya percaya, kita akan mendapat keputusan mengenai kes ini tidak lama lagi. Buat apa mahu dipanjangkan perkara ini, jika masalah ini selesai ia tidak membebankan mana-mana pihak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan