VVIP DENAI CINTA

21 Februari 2011

Sarawanan Dan Suresh Dipenjara 20 Tahun

BERNAMA
SHAH ALAM, 21 Feb : Dua pekerja ladang yang sebelum ini dihukum penjara tujuh tahun kerana melupuskan mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain terpaksa merengkok lebih lama di dalam penjara apabila Mahkamah Tinggi pada Isnin meminda hukuman mereka kepada 20 tahun.

Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki membuat keputusan itu setelah berpendapat kesalahan yang dilakukan K.Sarawanan, 20, dan U.Suresh, 27, sangat serius pada prosiding rayuan dan semakan yang difailkan terhadap hukuman asal mereka yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, 15 Okt tahun lepas.


Kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Majistret Hurmain Hussain selepas mereka mengaku bersalah atas empat tuduhan mengangkat, membakar dan membuang abu mayat Sosilawati, 47, pegawai bank Norhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44. Majistret itu memerintahkan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh berjalan secara serentak berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 9 Sept tahun lepas.

Sarawanan didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001 Jalan Tanjung Layang Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos tahun lepas manakala Suresh didakwa melakukan kesalahan itu di Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting pada 31 Ogos tahun lepas. Sarawanan kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya.

Pada masa yang sama, Mahkamah Tinggi menggunakan kuasa di bawah Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah untuk menyemak keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret itu.

Dalam penghakimannya, Mohtarudin berkata beliau menolak rayuan Sarawanan yang mendakwa bahawa pengakuan salahnya itu tidak dibuat secara sukarela dan berlaku paksaan untuk beliau berbuat demikian.

"Perlu diingat prosiding yang dijalankan oleh majistret adalah perbicaraan terus di bawah Seksyen 173 Kanun Prosedur Jenayah di mana kedua-dua tertuduh telah mengaku bersalah serta faham sifat dan akibat pengakuan," katanya. Mohtarudin berkata hujahan peguam berhubung jurubahasa Tamil yang tidak menerangkan pertuduhan, sifat dan akibat pengakuan serta fakta kes juga dianggap remeh.

Beliau berkata jurubahasa Tamil adalah kakitangan mahkamah serta berkelayakan dan tiada aduan ketika prosiding di Mahkamah Majistret berhubung jurubahasa berkenaan tidak dapat menguasai Bahasa Tamil dan sebagainya.

Berhubung hujahan peguam bahawa peguam-peguam yang bertindak mewakili Sarawanan dan Suresh tidak dilantik oleh kedua-dua tertuduh, Mohtarudin berkata ia tidak dibantah oleh mereka semasa prosiding di Mahkamah Majistret.

Mengenai tohmahan di dalam afidavit yang difailkan, Mohtarudin berkata sebahagiannya agak keterlaluan seperti tohmahan terhadap jurubahasa dan peguam, apatah lagi terhadap majistret yang menjalankan kuasa di bawah undang-undang yang bersesuaian dengan Seksyen 114 (e) Akta Keterangan 1950.

"Saya tidak bersedia untuk merobohkan benteng yang akan menyebabkan penyalahgunaan proses undang-undang sehingga dan melainkan salah laksana keadilan dibuktikan. Dengan itu saya menolak rayuan terhadap sabitan dan juga tidak mendapati apa-apa tindakan yang menyalahi undang-undang, perbuatan yang salah atau tidak betul dalam rekod prosiding oleh majistret serta tiada salah laksana keadilan berlaku," katanya.

Selain itu, Mohtarudin berkata kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak, iaitu hukuman maksimum di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata mengikut Seksyen 87(1) Akta Mahkamah Rendah 1948, kuasa majistret dalam menjatuhkan hukuman ialah maksimum lima tahun sahaja, tetapi majistret dalam kes itu telah mengguna pakai kuasa di bawah Seksyen 87(2) Akta yang sama di mana beliau mungkin menjatuhkan hukuman maksimum berdasarkan kepada rekod kesalahan lampau atau kesalahan tertuduh sebelum ini (antecedents).

"Kedua-dua tertuduh tiada rekod kesalahan lampau dan majistret mengambil kira 'antecedents' kedua-dua tertuduh iaitu mereka telah melakukan empat kesalahan. Saya bersetuju dengan peguam tertuduh bahawa 'antecedents' bererti perkataan sebelum kesalahan yang dipertuduhkan. Jika dilihat pertuduhan itu sendiri, masa dan tempat adalah sama."

"Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas empat pertuduhan bukan satu pertuduhan dan meminta tiga pertuduhan lain dipertimbangkan. Adalah jelas majistret terkhilaf dalam perkara ini," katanya.

Mohtarudin berkata dari alasan penghakiman, adalah jelas majistret mengakui keseriusan kesalahan yang dilakukan dan beliau telah mempertimbangkan Seksyen 173 A dan Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah, tetapi kesalahan itu terlalu serius iaitu 'screening someone from the offence of murder'.

Selain itu, beliau berkata laporan akhlak tidak diperlukan dan keperluan memanggil laporan akhlak di bawah undang-undang bukanlah satu yang wajib tetapi ia terletak kepada budi bicara majistret. Sehubungan itu, Mohtarudin berkata beliau membenarkan rayuan dan menjalankan kuasa semakan dengan menggantikan hukuman penjara tujuh tahun kepada lima tahun bagi setiap pertuduhan bagi kedua-dua tertuduh.

Hukuman penjara lima tahun adalah jelas tidak memadai kerana kes ini amat mengejutkan di mana empat orang dibunuh dalam satu kejadian dan ia adalah kesalahan paling serius, katanya. "Dengan itu bagi menjalankan kuasa semakan di bawah Seksyen 325 Kanun Prosedur Jenayah, saya memerintahkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dan setiap tertuduh hendaklah berjalan berturutan berkuatkuasa dari tarikh tangkapan," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani sementara Suresh diwakili peguam A.S.Dhaliwal dan Datuk Harpal Grewal. Dhaliwal juga turut mewakili Sarawanan. Sementara itu, Dhaliwal ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir berkata pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails