VVIP DENAI CINTA

17 Februari 2011

Keputusan Kes Kematian Aminulrasyid Ditangguh 28 Februari

BERNAMA
SHAH ALAM, 17 Feb : Mahkamah Sesyen di sini Khamis menangguhkan sehingga 28 Feb ini untuk memutuskan sama ada anggota polis, Koperal Jenain Subi dibebaskan atau dipanggil membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, pada April tahun lepas. Hakim Latifah Mohd Tahar menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.
Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini untuk membuat keputusan di akhir kes pendakwaan.

Seramai 39 saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 12 Okt tahun lepas. Jenain, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April tahun lepas di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini. Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani, Mohd Dusuki Mokhtar dan Adilla Ahmad sementara Jenain diwakili peguam M Athimulan dan Salim Bashir. Terdahulu, mahkamah dipenuhi anggota keluarga Aminulrasyid termasuk ibu, abang, adik perempuan dan dua kakak mangsa yang hadir untuk mengetahui keputusan kes itu.

Kira-kira 10 rakan mangsa termasuk Muhammad Azamuddin Omar yang turut berada dalam kereta dipandu Aminulrasyid semasa kejadian juga hadir ke mahkamah tetapi mereka tidak dibenarkan masuk berikutan galeri awam telah penuh. Jenain yang hadir memakai kemeja lengan pendek dan berkopiah putih turut ditemani anggota keluarganya.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails