VVIP DENAI CINTA

10 Februari 2011

Sarjan Retak Tengkorak Ditetak Bertubi-Tubi

Orang kurang siuman yang mengalami masalah mental sememangnya sukar dikawal dan perlakuannya di luar jangkaan kita. Pihak polis nampaknya memerlukan satu unit khusus untuk menangani situasi sebegini. Anggota PDRM juga wajar dilatih untuk menghadapi individu yang mempunyai masalah mental untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku sama ada kepada individu tersebut mahu pun anggota PDRM terlibat.

SEREMBAN : Drama amuk selama tiga jam di sebuah rumah di Taman Cempaka, Bahau, dekat sini, kelmarin berakhir dengan seorang lelaki mati ditembak, manakala seorang anggota polis berpangkat sarjan cedera parah.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, lelaki berusia 30-an yang dipercayai mengalami masalah mental menyerang Sarjan Abdul Rahim Hamid, 50, dengan parang sepanjang kira-kira 40 sentimeter menyebabkan tengkorak kepala anggota polis itu retak, manakala telinga kirinya hampir putus. Bagi menyelamatkan nyawa rakan setugas mereka, seorang daripada tiga anggota polis yang berada di tempat kejadian melepaskan satu das tembakan mengenai pipi lelaki terbabit, menyebabkan dia rebah sebelum mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, polis bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada ibu lelaki itu berusia 50-an yang meminta bantuan berikutan anaknya tiba-tiba mengamuk.
"Kira-kira jam 2 petang, empat anggota polis tiba di rumah berkenaan dan cuba mententeramkan lelaki terbabit yang dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk setempat. Namun, selepas tiga jam, usaha memujuk gagal sebelum lelaki yang masih bujang itu dilihat mula bertindak agresif sambil memegang parang."

"Berikutan itu, anggota polis menggunakan pistol pegun Taser untuk melumpuhkan sementara lelaki berkenaan, namun tidak mengena sasaran berikutan keadaan kelam-kabut dalam bilik di rumahnya," katanya pada sidang media, semalam.
Menurut Osman, suasana makin tegang apabila lelaki itu bertambah berang sehingga menyebabkan keempat-empat anggota polis berkenaan bertindak keluar dari bilik.

"Bagaimanapun, seorang daripada anggota itu terperangkap berikutan bergelut dengan lelaki berkenaan yang menetaknya bertubi-tubi beberapa kali pada dahi, kepala, leher dan bahunya.
Bagi menyelamatkan anggota itu yang berkemungkinan mati, seorang anggota lain melepaskan satu das tembakan ke arah lelaki berkenaan dan mengena ke pipinya lalu mati di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, Abdul Rahim yang cedera dikejarkan ke Hospital Jempol sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan cubaan membunuh.

"Hasil siasatan awal mendapati anak kedua daripada lima beradik itu mempunyai masalah mental dan tinggal berdua bersama ibunya sejak beberapa tahun lalu.
Keterangan semua saksi termasuk ibu suspek diambil dalam tempoh terdekat termasuk mengenal pasti punca sebenar lelaki berkenaan mengamuk," katanya. Osman turut melawat Abdul Rahim di HTJS dan keadaannya kini dilaporkan stabil, namun masih lemah.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails