VVIP DENAI CINTA

19 Februari 2011

Sultan Kedah Rasmi Masjid Al-Khalidiah Yang Dibiayai Siti Nurhaliza Dan Suaminya Datuk Seri Khalid

SUNGAI PETANI, 19 Feb : Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Sabtu merasmikan Masjid Al-Khalidiah di Kampung Permatang Pasir, Tikam Batu dekat sini yang pembinaannya dibiayai oleh penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Khalid yang berasal dari Kampung Permatang Pasir berkata masjid baru itu dibina di atas tapak asal Masjid Kampung Permatang Pasir bagi menggantikan masjid lama dengan kos untuk merobohkan masjid lama dan membina masjid baru termasuk kelengkapannya berjumlah hampir RM2 juta.
Katanya selain mendapat sumbangan pihak tertentu, ia dibina hasil sumbangan Yayasan Nurjiwa yang beliau dan isterinya wujudkan untuk membantu golongan yang memerlukan dan bagi melaksanakan program pembangunan agama.

"Ia mula dibina pada 1 Dis 2009 dan siap pada Ogos 2010. Bangunan utama masjid boleh memuatkan seramai 500 jemaah pada satu-satu masa," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian itu. Khalid yang juga Pengerusi Yayasan Nurjiwa berkata nama masjid itu dicadangkan oleh seorang sheikh dari Mekah yang ditemuinya di Madinah dan nama itu turut dicadangkan oleh Imam Masjid Kampung Permatang Pasir.

"Ia nama salah satu syurga. Kebetulan pula nama tu seperti nama saya. Saya berharap kemudahan masjid ini dapat digunakan oleh penduduk kampung. Masjid ini tidak akan dikunci untuk kemudahan orang ramai setiap masa," katanya.

Siti Nurhaliza pula bersyukur kerana masjid yang beliau dan suaminya usahakan selama ini dirasmikan hari ini, yang kebetulan jatuh pada tarikh lahir yang ke-52 suaminya. "Apabila kami berurusan dengan pejabat Istana, tarikh yang Tuanku pilih adalah hari ini iaitu 19 Feb. Memang perancangan kami untuk bina masjid bagi kemudahan penduduk sekeliling untuk buat program keagamaan. Saya gembira kerana impian kami jadi kenyataan hari ini. Harap Yayasan Nurjiwa dapat membuat banyak lagi aktiviti kebajikan," katanya.

Masjid Kampung Permatang Pasir dipercayai mula dibina sekitar tahun 1896 dan kemudian dibina semula pada 1926 secara gotong royong. Pada tahun 1985, 1997 dan 2005, kerja-kerja naik taraf masjid dijalankan untuk keselesaan jemaah dan pada 2009 pembinaan masjid baru di atas tapak sedia ada dilaksanakan.

2 ulasan:

cengkerangcipot berkata...

wooo hebatlah..
Alhamdulillah.. :)

Rohaifi Azri berkata...

Alhamdulillah...
Sama-sama kita banyakkan sedeqah...

Related Posts with Thumbnails