Sumber Bernama
KUALA LUMPUR, 8 Okt : Polis hari ini mendapat perintah mahkamah untuk melanjutkan tempoh reman tiga suspek berhubung kes ahli perniagaan yang dilaporkan hilang baru-baru ini sehingga 13 Okt. Perintah reman ke atas ketiga-tiga suspek, dua daripadanya peguam adik-beradik, dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Shakib Ismail kira-kira pukul 11.10 pagi tadi di Pusat Tahanan Sementara Balai Polis Bukit Jalil dekat sini. Seorang daripada suspek itu merupakan suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu.Ketiga-tiga suspek yang dibawa dengan van polis tiba di balai polis itu pada 8.45 pagi dan peguam yang mewakili dua beradik itu, Ravi Neeko dilihat turut hadir di balai polis berkenaan. Pada Khamis, ketiga-tiga suspek tersebut ditahan semula di lokap Balai Polis Petaling bagi membantu kes kehilangan seorang kontraktor, Mohd Syafiq Abdullah, 37, yang dilaporkan hilang bersama rakan niaganya, April lepas.
Isteri Syafiq, Samson Nahar Mohamed Dali, 35, dilaporkan telah membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya pada 13 April lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Sungai Petani.
Sementara itu, Jesyntha Clarene Isreal yang sebelum ini diburu polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, ditahan reman di balai polis berkenaan sehingga 13 Okt. Jesyntha menyerah diri dengan ditemani peguamnya kira-kira pukul 5 petang Khamis, di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi sebelum ditahan polis.
Baru-baru ini, media tempatan mendedahkan maklumat mengenai wanita tersebut yang berusia 27 tahun kepada umum kerana dipercayai mampu membantu memberi maklumat yang boleh menyelesaikan kes berprofil tinggi itu.
Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan