VVIP DENAI CINTA

15 Oktober 2010

Dua Lelaki Dipenjara Tujuh Tahun Lupus Bahan Bukti Kes Bunuh Sosilawati

BANTING, 15 Okt : Dua lelaki pada Jumaat dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Datok di sini atas tuduhan melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

K. Sarawanan, 19, dan U. Suresh, 26, yang masing-masing menghadapi empat pertuduhan melupuskan bahan bukti, didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.
Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap.

Mereka merupakan antara lapan orang yang ditahan di antara 9 dan 12 Sept lepas bagi membantu siasatan polis berikutan laporan kehilangan Sosilawati pada 30 Ogos lalu. Sarawanan dituduh menghilangkan bukti itu dengan membakar mayat Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Beliau yang merupakan seorang bekas mekanik didakwa membakar mayat keempat-empat mangsa itu di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat Banting pada 30 Ogos lepas antara 9.45 malam dan 12.00 tengah malam.

Suresh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap pula didakwa menghilangkan bahan bukti itu dengan membuang abu mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin di Sungai Panchau, Jalan Morib Banting pada 31 Ogos lalu antara 8 pagi hingga 10 pagi. Mereka berdua didakwa melakukan perbuatan itu bagi mengelakkan empat-empat tertuduh di dalam kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain daripada tindakan undang-undang.

Rabu lepas, peguam N. Patmanabhan, 41, pekerja ladang T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Khatavarayan, 30, didakwa di Mahkamah Majistret yang sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama atas tuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin.

Pada proseding mahkamah yang bermula pada pukul 11.15 pagi Jumaat, Sarawanan dan Suresh diwakili oleh peguam M. Puravelan, Mohd Naguib Abdul Malik dan Roslie Sulie manakala pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwaraya Ishak Mohd Yusoff dan dibantu oleh Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abdul Ghani.

Pertuduhan ke atas kedua-duanya dibacakan di dalam Bahasa Tamil oleh jurubahasa di dalam mahkamah yang dipenuhi wartawan dan orang ramai termasuk adik perempuan Suresh yang berusia 25 tahun.

Semasa prosiding tersebut, Hurman, pasukan pendakwaan dan pembelaan turut keluar sebentar daripada mahkamah untuk melihat salah satu eksihibit yang dibawa oleh pihak polis iaitu sebuah kenderaan Isuzu D-Max berwarna kelabu yang digunakan mengangkut abu mayat keempat-empat mangsa untuk dibuang ke dalam Sungai Panchau.

Sementara itu dalam rayuannya, Puravelan memohon mahkamah mengambil kira faktor latar belakang dan kebolehan tertuduh apabila menjatuhkan hukuman. "Kedua-dua tertuduh memohon maaf di atas kesalahan yang mereka lakukan," katanya.

Roslie berkata Sarawanan yang bekerja sebagai mekanik motosikal sebelum ini merupakan tempat keluarganya bergantung hidup dengan pendapatan RM800 sebulan bagi menyara bapanya yang mengidap sakit jantung dan ibunya seorang surirumah. Tertuduh yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik telah kematian abang dan dua lagi kakaknya telah berkahwin dan kini menetap di Ipoh, katanya.

Katanya beliau percaya Sarawanan tidak mempunyai kesalahan lampau dan pengakuan tertuduh perlu diambil kira kerana telah menjimatkan masa dan kos perbicaraan serta perlu dipertimbangkan untuk hukuman yang lebih ringan.

Mohd Naguib pula berkata anak guamnya, Suresh tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mempunyai pendapatan RM700 sebulan bagi menyara adiknya yang telah bertunang dan ibunya pula bekerja sebagai seorang tukang cuci dengan pendapatan RM800 sebulan.

Bapanya telah meninggal dunia dan ibunya memerlukan lebih RM300 bagi mendapatkan rawatan penyakit kencing manis, darah tinggi dan alahan kepada ubat-ubatan, katanya. "Anak guam saya mohon diberikan peluang kedua dalam situasi ini," kata Mohd Naguib.

Roslie dan Mohd Naguib memohon supaya Sarawanan dan Suresh dikenakan hukuman penjara serentak bagi kesalahan mereka. Bagaimanapun, Ishak berkata di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan mereka berdua boleh dikenakan penjara maksimum tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan juga boleh didenda.

Beliau memohon kepada mahkamah supaya tidak memberikan sebarang diskaun hukuman kepada kedua-dua pesalah dan perlu dikenakan hukuman maksimum yang dijalankan secara berasingan bagi memberikan peringatan kepada yang lain daripada melakukan jenayah yang sama.

Perbuatan mereka menghapuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain serta kesan tindakan mereka terhadap mangsa dan keluarga mereka yang terbabit juga perlu diambil kira, katanya.

Hurman ketika menjatuhkan hukuman tersebut berkata beliau mengambil kira tindakan tertuduh memusnahkan bahan bukti kes perbicaraan pembunuhan, kesan tindakan mereka terhadap keluarga simati dan kepada masyarakat selain daripada latar belakang tertuduh yang mempengaruhi mereka melakukan jenayah itu.

Selepas Hurman menjatuhkan hukuman, Sarawanan dan Suresh memberitahu mahkamah bahawa mereka memohon maaf kepada keluarga mangsa dan masyarakat di atas perbuatan yang telah mereka lakukan dan telah insaf, dalam Bahasa Tamil dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh jurubahasa mahkamah.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails