VVIP DENAI CINTA

30 Oktober 2010

Semakan Hukuman Kes Lupus Bahan Bukti Ditangguh Ke 15 November

SHAH ALAM, 29 Okt : Mahkamah Tinggi Shah Alam Jumaat menangguhkan ke 15 Nov ini semakan terhadap hukuman penjara tujuh tahun ke atas dua lelaki yang mengaku bersalah melupuskan bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki berkata beliau terpanggil untuk menyemak semula keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret Telok Datok hari ini berikutan aduan daripada orang awam yang mendakwa Majistret Hurman Hussain memutuskan hukuman itu tidak mengikut undang-undang.
"Saya lakukan ini atas kuasa review saya," katanya.

Di bawah Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah seseorang hakim boleh membuat semakan terhadap keputusan mahkamah rendah untuk membetulkan keputusan, rumusan, hukuman dan perintah. Beliau menetapkan tarikh itu sementara menunggu alasan penghakiman daripada majistret berkenaan. Mohtarudin juga berkata selain daripada itu terdapat permohonan rayuan oleh salah seorang tertuduh, K Sarawanan, dan jika perlu semakan boleh dibuat semasa mendengar rayuan itu.

Pada 27 Okt lepas, peguambela Sarawanan, A S Dhaliwal memfailkan semakan itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di sini. Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, masing-masing mengaku bersalah pada 15 Okt lepas terhadap empat pertuduhan melupuskan bahan bukti kes pembunuhan itu di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

Majistret menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap, 9 Sept tahun ini.

Sarawanan, bekas mekanik, dituduh menghilangkan bukti itu dengan membakar mayat Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat Banting pada 30 Ogos lepas antara 8.30 malam hingga 9.45 malam.

Suresh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap pula didakwa menghilangkan bahan bukti itu dengan membuang abu mayat keempat-empat mangsa berkenaan di Sungai Panchau, Jalan Morib Banting antara 8 pagi hingga 10 pagi, 31 Ogos lepas. Suresh hadir pada prosiding pagi ini bersama peguamnya M Puravelan manakala pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwaraya Ishak Mohd Yusof.

Turut hadir di mahkamah hari ini adalah peguam-peguam kepada empat lelaki yang didakwa membunuh kesemua mangsa iaitu peguam N Patmanabhan, 41, pekerja ladang T Thilaiyalagan, 19, R Matan, 20, dan R Khatavarayan, 30, yang didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting pada 13 Okt lepas.

Mereka didakwa melakukan pembunuhan itu di Lot No 2001 Jalan Tanjung Layang Tanjung Sepat, Banting, Selangor antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam pada 30 Ogos lepas.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails