VVIP DENAI CINTA

30 Oktober 2010

Aminulrasyid Meninggal Dunia Disebabkan Luka Tembakan Di Kepala

SHAH ALAM, 28 Okt : Perbicaraan kes seorang anggota polis yang didakwa menyebabkan kematian remaja lelaki berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah di Mahkamah Sesyen di sini Khamis diberitahu bahawa mangsa meninggal dunia disebabkan oleh luka tembakan di kepalanya. Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Dr Khairul Azman Ibrahim yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa, juga berkata Aminulrasyid berkemungkinan besar meninggal dunia beberapa minit atau saat selepas ditembak.

"Ini kerana luka tembakan itu hampir dengan batang otak yang berfungsi mengawal pernafasan dan terdapat pendarahan yang agak tebal pada batang otak. Kecederaan seperti itu boleh menyebabkan kematian mangsa," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Adilla Ahmad.

Dalam perbicaraan itu, Koperal Jenain Subi, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lepas. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Saksi ke-23 pendakwaan itu berkata semasa mayat mangsa dibawa ke bilik mayat pada pukul 5.55 pagi hari kejadian, keadaan kaku mayat telah berlaku berikutan mangsa dipercayai telah meninggal dunia kira-kira empat jam sebelum itu.

Beliau juga mendapati terdapat pendarahan pada hidung Aminulrasyid dan kesan darah yang banyak di belakang badan mangsa serta kemeja-t lengan pendek berwarna kuning, seluar pendek berwarna biru dan seluar dalam yang dipakainya.

Ketika Dr Khairul Azman membuka sampul surat mengandungi kemeja-t tersebut, perbicaraan terpaksa ditangguhkan seketika berikutan bau darah kering pada pakaian itu memenuhi seluruh ruang mahkamah.

Terdahulu, saksi itu berkata semasa menjalankan bedah siasat ke atas mayat Aminulrasyid, beliau mendapati terdapat lubang tembakan pada bahagian belakang kepala dan kesan lebam pada bahagian dahi sebelah kanan mangsa. Beliau juga mendapati terdapat sebutir anak peluru melekat pada tisu lembut di bawah kulit di bahagian hadapan dahi kanan Aminulrasyid tetapi ia tidak menembusi kulit kepalanya.

"Pada bahagian belakang tengkorak terdapat satu lubang yang merupakan luka tembakan masuk yang menghala ke depan. Terdapat 'bullet track' yang masuk dari bahagian belakang kiri otak menghala ke depan sedikit condong ke kanan melalui atas batang otak dan keluar pada bahagian depan otak."

"Saya juga periksa pada bahagian dada dan didapati tulang dada tidak patah serta tiada pendarahan pada rongga dada tetapi ada sedikit kesan lebam pada tisu lembut pada kulit dada belah kanan berkemungkinan disebabkan oleh impak dengan benda tumpul," katanya. Selain itu, saksi pendakwaan itu berkata beliau turut memeriksa bahagian perut mangsa dan menemui nasi yang belum dihadam.

Dr Khairul Azman berkata beliau turut menemui beberapa kesan calar dan luka pada tubuh Aminulrasyid yang konsisten dengan kecederaan yang disebabkan oleh geseran atau impak dengan benda yang tumpul.

Ditanya mengenai jarak tembakan dilepaskan berdasarkan kecederaan yang dialami mangsa, pakar forensik itu berpendapat bahawa tembakan dilepaskan dari jarak yang jauh berikutan corak luka akibat tembakan tersebut bukan berbentuk bintang.

"Jika luka tembakan berbentuk bintang tembakan dilepaskan dari jarak dekat dan luka tembakan juga didapati tidak menembusi kulit, sekiranya (tembakan) dekat ia akan tembus. Saya berpendapat tembakan tidak dilepaskan dari jarak dekat kerana tiada kesan terbakar pada kulit kepala mangsa."

"Saya juga berpendapat tembakan dilepaskan dari jarak jauh kerana saya difahamkan oleh pegawai penyiasat terdapat satu kesan tembakan pada cermin belakang kereta yang dinaiki oleh mangsa," katanya. Ditanya mengenai peluang mangsa untuk hidup berdasarkan luka tembakan yang dialaminya, Dr Khairul Azman berkata peluang Aminulrasyid untuk hidup adalah tipis.

Sementara itu, Ketua Unit Senjatapi dan Kesan Alat, Seksyen Criminalistic, Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Shaari Desa berkata beliau telah diminta oleh pegawai penyiasat ASP Abdul Halim Ismail untuk menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa barang kes termasuk dua laras 'submachine gun' jenis HK MP5 yang digunakan oleh Jenain dan seorang lagi anggota polis konstabel Mohd Izham Mahayadin semasa kejadian, lelopak serta peluru.

Saksi ke-24 pendakwaan itu berkata beliau telah menjalankan ujian ke atas kedua-dua senjata tersebut untuk menentukan sama ada ia pernah digunakan untuk melepaskan tembakan berdasarkan kehadiran sisa serbuk tembakan senjata api yang terdapat dalam laras kedua-dua senjata itu.

"Hasil pemeriksaan menggunakan mikroskop dan ujian kimia ke atas bebola kapas yang ditolak masuk ke dalam laras kedua-dua laras senjata mendapati kedua-duanya mempunyai sisa serbuk senjata api dalam laras iaitu kedua-duanya pernah digunakan untuk melepaskan tembakan dan tidak dilakukan sebarang pembersihan selepas tembakan berlaku."

"Saya juga jalankan ujian ke atas kelongsong peluru dan berpendapat tiga kelongsong peluru telah ditembak oleh submachine gun bertanda Y (yang digunakan oleh Mohd Izham) manakala 12 kelongsong peluru telah ditembak oleh submachine gun bertanda X (yang digunakan oleh Jenain). Kelongsong peluru yang lain didapati rosak dan tidak sesuai untuk dijalankan ujian ke atasnya," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar disambung pada 9 Nov ini.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails