VVIP DENAI CINTA

12 Oktober 2010

3 Suspek Kes Sosilawati Mohon Perintah Lanjutan Penahanan Mereka Disemak Semula

Sumber Bernama
KUALA LUMPUR, 11 Okt : Peguam dua beradik dan seorang suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya memfailkan permohonan supaya perintah lanjutan tahanan reman terhadap mereka yang diperoleh pihak polis, disemak semula. Permohonan itu difailkan peguam Ravi Nekoo pagi Isnin di pejabat pendaftaran jenayah Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman Hakem Arabi & Associates.

Dalam permohonan itu, Ravi menyatakan bahawa berbuat demikian selepas mendapat arahan anak guamnya dan isteri suspek ketiga berhubung perintah yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Lumpur Ahmad Shakib Ismail pada 8 Okt bagi membenarkan tahanan mereka dilanjutkan. Beliau meminta Mahkamah Tinggi menyemak perkara itu mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah.

Ketiga-tiga suspek berkata mereka telah ditahan pada 11 Sept di alamat No.109, Jalan cempaka, Taman Seri Teluk Datuk, Banting dan ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan polis berhubung laporan kehilangan Sosilawati dan tiga individu lain.

Ketiga-tiganya dibebaskan sebelum ditahan semula pada 25 Sept, dan polis mendapat perintah melanjutkan tahanan reman mereka sehingga 2 Okt bagi membantu siasatan berhubung kehilangan ahli perniagaan warga India, Allal Kanthan Muthuraja.

Reman terhadap mereka kemudian dilanjutkan sekali lagi sehingga 7 Okt sebelum dibawa di hadapan Majistret Ahmad Shakib pada 8 Okt di pusat tahanan sementara Bukil Jalil di mana perintah tahanan ketiga-tiganya ditambah tujuh hari lagi bagi membantu siasatan kes kehilangan dua individu lain iaitu Mohd Shafiq Abdullah dan Thevaraj Shanmugam.

Dalam permohonan, Ravi mendakwa pegawai penyiasat ASP Tonny Anak Longgan mengemukakan tujuh alasan mengapa tempoh reman itu perlu dilanjutkan.

Pertama, bagi mencari bukti penglibatan suspek dalam pembunuhan berkenaan dan motif jenayah; kedua, mencari rakan sejenayah dalam kes itu; ketiga untuk mengesan barang kes yang didakwa dilupuskan suspek; keempat, merekod kenyataan mereka, kelima, mengadakan kawad cam; menyiasat urusniaga antara suspek dan kesemua mangsa; dan yang terakhir, menyiasat rakan kongsi suspek yang didakwa terlibat dalam perniagaan batu permata.

Ravi berkata beliau dan dua peguam lagi iaitu Pushpa Ratnam dan Ng See Teong yang mewakili ketiga-tiga suspek, telah mengemukakan bantahan terhadap permohonan Tonny. Bagaimanapun, Ahmad Shakib membenarkan permohonan polis dan memerintahkan tahanan reman ketiga-tiga suspek dilanjutkan sehingga 13 Okt.

Dalam permohonan untuk semakan, Ravi meminta Mahkamah Tinggi meneliti beberapa isu termasuk kegagalan majistret berkenaan menimbangkan permohonan bagi perintah tahanan reman secara individu berbanding "omnibus".

Ravi mendakwa majistret berkenaan telah terkhilaf dalam mengeluarkan perintah lanjutan tahanan reman tersebut, sementara alasan yang diberikan polis adalah tidak relevan. Sementara itu, ketika dihubungi, Ravi berkata mahkamah belum menetapkan sebarang tarikh untuk mendengar permohonan itu.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails