VVIP DENAI CINTA

12 Oktober 2010

Dewan Rakyat : Enam Laporan Polis Dibuat Terhadap Suspek Utama Kes Bunuh Sosilawati

Sumber Bernama
KUALA LUMPUR, 11 Okt : Sebanyak enam laporan polis telah dibuat terhadap peguam dan adiknya yang disyaki suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, yang mana kesemuanya berkaitan dengan kes penipuan, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menteri Dalam Negeri itu memberitahu Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin, bahawa kesemua laporan yang dibuat di Balai Polis Banting, masing-masing bertarikh 19 Ogos 2005, 20 Oktober 2005, 20 Februari 2009, 18 Mac 2010, 13 dan 14 September 2010.


Beliau berkata daripada enam laporan membabitkan peguam terbabit serta adiknya, dua kes telah selesai disiasat dengan satu daripadanya, kertas siasatan telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan satu lagi dalam perbicaraan di mahkamah.

"Satu telah ditutup berikutan tindakan pengadu menarik semula laporannya dan tiga lagi masih dalam siasatan polis," katanya menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) di sini bersekali dengan soalan Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu) dan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).

Lim dalam soalannya ingin tahu tarikh dan jenis laporan polis yang dibuat terhadap adik-beradik peguam yang disyaki terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai Sosilawati di Banting serta tindakan terkini terhadap laporan polis berkenaan.

Sosilawati, pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dan pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 12 Sept lepas, polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor.

Hishammuddin berkata tidak timbul persoalan bahawa polis tidak menjalankan siasatan ke atas laporan-laporan yang buat terhadap suspek dan menegaskan bahawa tiada laporan orang hilang dikaitkan dengan suspek sebelum ini.

"Cuma satu laporan sahaja yang dibuat oleh Allal Kathan Kasi iaitu adik kepada A. Muthuraja (hartawan warga India) pada 29 Mac 2010 di Balai Polis Klang. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana fakta kes menjurus kepada penipuan.

"Orang yang disyaki dalam kes ini (kes A. Muthuraja) bukan suspek utama kes Datuk Sosilawati dan tiga yang lain. Laporan kehilangan Muthuraja yang dikaitkan dengan suspek cuma dibuat pada 8 Sept lepas oleh isterinya S. Usharani, 24, iaitu selepas kes Sosilawati dibongkar termasuklah lain-lain kes yang didedahkan media massa baru-baru ini," katanya.

Menjawab soalan tambahan Lim sama ada akan diadakan satu siasatan terbuka bagi menyiasat kes tersebut demi mengembalikan kepercayaan awam kepada polis, beliau berkata kepercayaan tersebut hanya akan terjejas sekiranya terdapat pihak yang memberikan persepsi negatif terhadap pasukan keselamatan itu.

Beliau berkata menurut statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) daripada tahun 2000 hingga Ogos 2010, sebanyak 35,473 kes dilaporkan mengenai orang hilang dan daripada jumlah itu sebanyak 21,344 kes telah selesai atau telah dijumpai semula. "Ini adalah kejayaan yang boleh dibanggakan dan mampu menangkis persepsi negatif," katanya.

Dalam sidang akhbar kemudiannya di lobi Parlimen, Hishammuddin menegaskan bahawa bagi mengelakkan siasatan ke atas kes tersebut terjejas, semua pihak termasuk media perlu merujuk pusat media PDRM bagi mendapatkan maklumat terkini terhadap kes tersebut. Hishammuddin berkata beliau yakin suspek kes berkenaan akan didakwa ke mahkamah dalam tempoh terdekat.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails