VVIP DENAI CINTA

08 Oktober 2010

CINTA HAKIKI : 'INGAT ALLAH' Hiburan Golongan Beriman

MANUSIA sukakan hiburan. Malah, ada ketikanya hiburan menjadi suatu keperluan bagi sesetengah orang seperti makanan dan minuman. Alasannya, hiburan boleh mendatangkan ketenangan, mengurangkan tekanan dan menyegarkan emosi. Benar, ketegangan dan kegersangan emosi boleh menyebabkan seseorang itu jadi pemarah, perengus, tertekan dan resah.

Menyuburkan emosi memang penting kerana dari situ akan timbul sikap kasih sayang, prihatin dan peka pada persekitaran sekeliling. Tetapi apabila disebut hiburan bukanlah semata-mata yang mungkin difahami anak remaja kini iaitu nyanyian, konsert, pesta, karaoke, kelab malam atau berpeleseran saja. Malah, melihat keindahan alam, melancong, ekspedisi dan berkelah juga hiburan.

Ada tiga kategori hiburan :

i - Bagi seorang mukmin ialah iman, amal ibadat, wirid dan zikir atau apa saja perbuatan yang membawa pahala daripada Allah adalah hiburan. Ini kerana hasil daripada itu adalah ketenangan dan ketenteraman.

Jiwa yang sentiasa hidup dan segar. Emosi pula terkawal.
Perkara inilah yang dimaksudkan Allah dalam al-Quran iaitu firman-Nya bermaksud: "Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati jadi tenang."

ii -
Hiburan kategori kedua iaitu apa saja cara yang dapat menghilangkan keresahan dan kerunsingan yang tidak bertentangan dengan syariat serta akidah.
Malah, jika dihayati hiburan jenis ini dapat dijadikan cara untuk mendekatkan diri pada Allah. Umpamanya, jika berkelah atau berekspedisi di samping dapat menghilangkan bosan dapat juga merasai kehebatan ciptaan Allah, meresap di jiwa lalu timbul rasa gerun kepada-Nya.

Tetapi hakikatnya, ramai yang tidak menyedari hikmah di sebalik berhibur. Jadi, hiburan hanya sekadar hiburan, terhenti setakat itu saja.
Namun, hiburan kategori ini selagi tidak bercanggah dan tidak memberi kesan negatif, ia ibarat ubat mengurangkan kesakitan yang dapat menghilangkan keresahan buat seketika, tetapi tidak dapat menghapuskan punca keresahan itu.

iii -
Hiburan kategori ketiga paling popular terutama muda-mudi. Konsert artis, nyanyian yang lalai, pesta, kelab malam dan berpasangan adalah menjadi hambatan hidup remaja kini. Hiburan ini bukan saja tidak bersifat menyembuhkan, malah umpama penagihan dadah. Memang seronok, ibarat gula-gula, manis dan sedap tetapi tidak mengenyangkan.

Keseronokan itu bukan bererti kebahagiaan atau ketenangan. Malah, beransur-ansur membawa akibat buruk dan negatif pada jangka masa panjang. Hiburan kategori ini mendatangkan kesan buruk pada hati yang tidak dapat dikesan. Hati menjadi keras, gelap, lalu terdinding daripada mendapat kelazatan mengingati Allah, malah sukar untuk menerima kebenaran.

.....................................
Justeru, orang yang mendapat hiburan hakiki (sebenar) umpama mendapat hidangan dan makanan lazat lagi enak, tidak perlu lagi pada gula-gula yang tidak berkhasiat. Selalunya hanya kanak-kanak yang amat gemar pada gula-gula, manakala golongan dewasa tidak kerana mereka lebih mengutamakan makanan mengenyangkan.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails