VVIP DENAI CINTA

08 Oktober 2010

Ratusan Fail Lagi Diambil Dari Pejabat Suspek Kes Bunuh Sosilawati

Sumber Bernama
BANTING, 7 Okt : Polis mengambil ratusan fail dari firma guaman milik suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, di sini. Firma guaman suspek utama itu terletak di Jalan Kemboja, Off Jalan Sultan Alam Shah, di sini. Fail-fail itu dipunggah ke dalam sebuah lori dua tan oleh tiga pekerja termasuk pemandunya petang tadi dengan pengawasan beberapa pegawai dan anggota polis.

Para wartawan dan jurugambar melihat pemandu-pemandu lori itu kira-kira pukul 3.30 petang tadi semasa singgah minum di sebuah restoran yang terletak di seberang jalan berhadapan dengan Ibupejabat Polis Daerah Kuala Langat. Kerja-kerja pemunggahan itu selesai kira-kira 4.50 petang tadi dan lori itu bergerak meninggalkan pejabat milik peguam yang merupakan suspek utama kes itu ke satu destinasi yang tidak diketahui.

Pemandu lori itu yang ditemui media juga keberatan menjawab soalan media mengenai ke mana fail-fail itu akan dibawa dan hanya menjawab beliau akan diberitahu kemudian. Turut kelihatan beberapa wanita yang dipercayai pekerja firma guaman itu bergegas turun daripada pejabat itu sambil melindungi wajah mereka daripada dirakam para jurugambar yang sedia menunggu di hadapan pintu pejabat.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 Sept lepas, polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails