Apakah Rakyat Semakin Tamak, Kurang Prihatin?
Malaysiakini | BERNAMA
Benarkah ada di antara kita kini mula tidak ambil peduli apabila musibah menimpa orang lain? Adakah masyarakat kita yang penuh dengan sifat sopan-santun dan berbudi bahasa sudah bertukar menjadi 'tamak haloba'. Beberapa kejadian yang berlaku awal tahun ini telah memaparkan realiti sebenar sikap segelintir masyarakat kita.Februari lalu, seluruh negara membaca luahan rasa kecewa seorang pemandu lori treler Ahmad Rozlin Ahmad Murad, dengan sikap orang ramai berebut memungut kampit berisi beras yang bertaburan di atas jalan raya selepas lori treler tersebut terlibat dalam kemalangan, tanpa mempedulikan mayat rakannya yang tersepit di kenderaan itu.
Sebulan sebelum itu, keluar juga berita dalam media mengenai kenderaan pacuan 4-roda yang membawa lebih RM70,000 (dalam bentuk syiling) terlibat kemalangan di KM 244 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Pedas.
Duit syiling itu bertaburan di atas jalan raya. Sesetengah mereka dari kenderaan yang lalu di situ seolah-olah 'berpesta' memungut wang yang bertaburan dan tidak menghiraukan rayuan pemandu kenderaan pacuan 4-roda itu agar tidak 'diambil' syiling tersebut.
Namun individu terlibat tidak mempedulikan langsung rayuan tersebut meskipun terdapat polis dan petugas lebuh raya yang berada di tempat kejadian. Walaupun pemandu serta seorang rakannya itu hanya cedera ringan, namun tidak ada siapa yang ambil kisah untuk membantu mereka.
Satu kemalangan melibatkan van di KM 424.9 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Bukit Tagar juga berlaku pada bulan yang sama.
Tetapi apa yang terjadi? Beberapa pemandu kenderaan turut berhenti tetapi bukan untuk membantu mangsa kemalangan sebaliknya berebut-rebut memungut barangan yang tercampak dari van berkenaan. Mana tidaknya, van yang terlibat dalam kemalangan itu membawa beribu-ribu botol minuman 'yogurt' (dadih) jenama terkenal.
Reaksi
Kejadian berkenaan menarik pelbagai reaksi sama ada daripada orang ramai mahupun golongan ulama serta cendikiawan. Mufti Perak, Tan Sri Harrussani Zakaria seperti yang dinyatakan dalam laporan sebuah akhbar menegaskan, duit tersebut haram diambil serta digunakan kerana ia mempunyai pemilik dan wajib dikembalikan semula.
Manakala Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut berpendapat orang ramai hendaklah membantu mangsa kemalangan tersebut dan memulangkan kembali wang syiling dan bukannya mengambil kesempatan daripada insiden itu. Malah beliau menganggap perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara Islam seperti Malaysia.
Wajarkah insiden-insiden yang mencerminkan 'tamak haloba' rakyat Malaysia berlaku sedangkan kita memang dididik dengan sikap Masyarakat Penyayang dan Berbudi Bahasa?
Bukan masalah kita
Apa sudah jadi dengan masyarakat kita hari ini? Tinggal sembilan tahun sahaja lagi untuk kita sampai ke tahun 2020 dan mencapai Wawasan 2020. Malah kita juga sedang berusaha menjayakan Gagasan 1Malaysia. Sayangnya, adakah masyarakat sudah bersedia mendekati matlamat tersebut?
Ahli Psikologi Sosial dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr Intan Hashimah Mohd Hashim berkata beliau melihat hal ini dari dua aspek.
Pertama, faktor orang ramai tidak membantu seseorang yang telah mengalami kemalangan. Kedua, kenapa pula orang sanggup mencuri/mengambil barangan yang bertaburan kesan daripada kemalangan tersebut?
Menurut Dr Intan Hashimah, sikap ini tidak semestinya ada kaitan dengan nilai sopan-santun dalam masyarakat tetapi lebih kepada apa yang dipanggil oleh ahli psikologi sosial sebagai kesan pemerhati atau dalam bahasa Inggerisnya, "by-stander effect".
Banyak kajian dalam psikologi sosial menunjukkan bahawa kecenderungan untuk orang sekeliling membantu seseorang dalam suasana kecemasan (seperti kemalangan jalan raya) akan berkurangan sekiranya terdapat ramai pihak lain yang sedang memerhatikan kejadian yang sama.
"Kemungkinan dengan adanya lebih ramai orang di sekeliling akan mendorong seseorang merasakan tanggungjawab untuk menolong tidak hanya kepada dirinya seorang. Malahan ramai yang merasakan orang lain lebih sesuai dan sepatutnya membantu seseorang dalam kecemasan dan bukan dirinya sendiri. Dengan itu mereka memilih untuk tidak membantu", kata pakar psikologi sosial itu.
Dr Intan Hashimah berpendapat fenomena ini berlaku dalam banyak masyarakat termasuk di barat. Sikap membantu dalam kecemasan akan lebih tinggi jika yang memerhatikan kejadian itu hanya seorang dua berbanding lebih ramai orang.
Mengenai aspek kedua, Dr Intan Hashimah berpendapat ia masih lagi berkaitan dengan rasa tanggungjawab. "Dalam situasi kedua, mereka yang mencuri daripada mangsa kemalangan biasanya lebih daripada seorang dan mereka tidak mengenali mangsa kemalangan.
"Tambahan pula ada ramai lagi yang turut mencuri/mengambil barangan yang bertaburan, ini mengurangkan rasa malu atau bersalah dalam diri orang yang mencuri. Mereka juga tidak takut tertangkap kerana tiada polis atau pihak autoriti di situ yang akan mengambil tindakan terhadap mereka.
Kenapa tidak punya perasaan?
Mungkin ada beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya sikap tidak peduli sebegini. Bagi Dr Intan Hashimah, beliau tidak melihatnya sebagai faktor perubahan moral dalam masyarakat sebaliknya ia lebih kepada faktor situasi yang mendorong seseorang untuk berkelakuan sedemikian.
"Dalam situasi ini, masyarakat memerlukan 'role model'. Jika ada seseorang yang membantu mangsa kemalangan dan ada pula seseorang yang menghalang (tidak semestinya mangsa kemalangan itu sendiri) orang lain daripada mencuri, mungkin mereka yang ada dan sedang memerhatikan di tempat kejadian akan turut membantu dan tidak akan mencuri.
"Apa yang kita perlu ada ialah contoh dalam masyarakat yang menunjukkan nilai-nilai positif dan itu membolehkan orang lain turut melakukan perkara yang sama. Saya percaya masih ramai orang Malaysia yang baik-baik tetapi mereka tidak tahu apakah yang sesuai untuk dilakukan dalam suasana tertentu, terutama semasa kecemasaan," ulas pensyarah itu.
Bagaimanapun, sebagai ahli psikologi sosial, beliau tidak melihat rakyat Malaysia sudah kurang dengan nilai kasih sayang, bersopan-santun dan berbudi bahasa. Masyarakat Malaysia memang bersopan-santun tetapi masalahnya mereka lebih biasa bersopan-santun dengan orang yang dikenali dan tidak kepada orang asing yang tidak dikenali.
"Kita perlu belajar menyalurkan rasa prihatin kepada segenap masyarakat, bersikap prihatin dan sopan kepada orang sekeliling walaupun orang itu tidak kita kenali," sarannya.
Jika kanak-kanak dan pelajar boleh dididik di peringkat awal, mendidik masyarakat yang dewasa mungkin agak berbeza. Intan Hashimah berpendapat, setiap individu mesti menanamkan sikap prihatin dan bertimbang rasa sedalam-dalamnya dalam diri masing-masing.
Sekiranya sikap ini dimiliki, kita akan sentiasa perihatin dan bertimbang rasa dalam semua konteks dan ditujukan kepada semua orang sekeliling, tanpa mengira sama ada kita mengenali atau tidak mengenali orang itu.
"Jika ini berlaku, pastinya kita tidak akan teragak-agak membantu mangsa kemalangan dan tidak akan sanggup mencuri atau mengambil barangan daripada mereka, walaupun kita tidak akan tertangkap."
Kita tidak mahu, kelak apabila masalah begini berlaku, masyarakat Malaysia hanya menjadi pemerhati sambil memeluk tubuh menantikan pihak lain untuk membantu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan