VVIP DENAI CINTA

30 April 2010

PDRM PERLU TERBUKA TERIMA KRITIKAN, BUKAN UGUT RAKYAT

Polis Perlu Terbuka Terima Kritikan Rakyat
KUALA LUMPUR, 30 April : Polis digesa bersikap terbuka menerima sebarang kritikan dan bukannya bertindak mengeluarkan kata dua berbaur ugutan kepada rakyat. Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata, PAS kesal dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang memberi kata dua untuk tidak mengarahkan anggotanya menahan kereta mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram jika tekanan kuat terus diberikan kepada mereka.

Musa dilaporkan berkata demikian sebagai mengulas tekanan yang diterima pihak polis ekoran kematian remaja 15 tahun, Aminulrasyid Amzah yang ditembak polis ketika dikejar kereta polis di Shah Alam, Isnin lalu.

Mengulas perkara itu beliau berkata, polis sepatutnya bersikap profesional dan berusaha memperbaiki kelemahan mereka. "Polis dibayar gaji mengunakan wang rakyat jadi tiada sebab Musa perlu arahkan anggotanya supaya tidak bekerja. Sama ada beliau merajuk atau tertekan, ugutan itu tidak sepatutnya dilemparkan kepada rakyat."

"KPN yang kontraknya telah disambung beberapa kali harus bekerja bersunguh-sungguh bagi mendapatkan kepercayaan rakyat. Jika beliau tidak mampu, lebih baik beliau berundur sahaja," katanya dalam satu kenyataan.

PAS katanya yakin, ramai lagi anggota polis yang mempunyai kredibiliti mampu untuk menaikan semula imej jabatan itu berbanding segelintir yang bermasalah. "Pihak Pengurusan PDRM kena belajar terima hakikat ini dan menerima teguran rakyat secara proaktif," tambahnya lagi.

Polis dakwanya seolah-olah hanya bertindak pantas bila kes sudah menjadi isu dalam surat khabar dan media, sedangkan isu yang tidak diketahui rakyat dipencilkan begitu sahaja. Selain itu beliau melahirkan rasa kesal ekoran penolakan pihak polis sebelum ini untuk penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) kerana menganggapnya sebagai satu ancaman.

Menurutnya lagi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguat Kuasa (Siap) yang mengantikan IPCMC juga gagal bertindak walaupun Akta penubuhan agensi itu telah diluluskan tahun lepas. "Jika mereka menjalankan tugas dengan baik dan tidak melakukan kesalahan, tiada sebab mereka takut kepada IPCMC. Penubuhan Siap jelas tidak siap mana pun," katanya lagi.

Tambahnya, uniform polis bukanlah lesen untuk melakukan pelanggaran undang-undang atau membuli rakyat dan jika polis tidak bersalah rakyat tidak akan menghukum. Sehubungan itu ujarnya, ketua polis negara akan datang perlu lebih profesional dan tidak cepat melatah menghadapi tekanan sekaligus menumpukan masanya untuk buat kerja bukan buat ugutan lagi kepada rakyat. - HARAKAHDAILY

......................................................

KPN SEDIA ARAH ANGGOTA POLIS UNDUR

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan membidas kritikan pelbagai pihak berhubung kematian remaja berusia 14 tahun - Aminulrasyid Amzah dan berkata beliau sedia mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi mengawal jika itu kehendak rakyat.

"Biarlah apa yang nak dikatakan oleh ahli politik, tapi saya ingin tahu sama ada anda mahu kami menguatkuasakan undang-undang atau tidak. Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya," katanya dalam laporan The Star online.

Musa mengulas kenyataaan pelbagai pihak berhubung kematian Aminulrasyid, apabila polis melepaskan empat tembakan ke arah kereta yang dipandu remaja itu kerana didakwa cuba berundur dan merempuh ke arah polis. Kejadian itu berlaku di Seksyen 11, Shah Alam apabila Aminulrasyid dikatakan memecut dan melanggar beberapa lampu isyarat merah tanpa berhenti meskipun diarahkan berbuat demikian.

Menurut Musa, beliau tidak mahu membuat seberang spekulasi mengenai perkara itu dan meminta orang ramai agar tidak terburu-buru membuat kesimpulan tentang kejadian. Beliau juga mengulangi jaminannya bahawa tiada apa yang akan disembunyikan berhubung kes itu.

"Saya tak berat sebelah, jangan buat spekualsi. Seperti yang saya kata sebelum ini, kami tak akan menyembunyikan apa-apa dan kami akan berlaku adil dalam siasatan kami. Oleh itu, tunggulah hasilnya nanti," katanya dalam laporan Bernama.

Ditanya tentang keadaan yang membolehkan polis menggunakan senjata api, beliau berkata "Orang saya tahu bahawa mereka hanya boleh menggunakan senjata api untuk mempertahankan diri, itu sudah menjadi peraturan dalam tugas kami."

Musa berkata sesebuah kenderaan itu sama bahayanya dengan pistol, pisau atau tukul. "Kenderaan boleh digunakan sebagai senjata... senjata bukan bermakna pistol, pisau atau parang saja. Kalau seseorang itu enggan berhenti dan cuba merempuh pegawai yang cuba menahannya, ia (kenderaan) boleh dianggap sebagai senjata kerana ia boleh membahayakan nyawa pegawai penguatkuasa," kata beliau.

Sebelum ditembak, mengikut polis Aminulrasyid mengundur kereta dan cuba merempuh pegawai polis untuk cuba melepaskan diri daripada sekatan jalan raya berhampiran rumahnya. Musa juga menasihati orang ramai supaya berhenti apabila diminta berbuat demikian oleh polis atau pegawai penguatkuasa dan jangan cuba melarikan diri kerana perbuatan demikian boleh menimbulkan rasa curiga.

"Dalam keadaan gelap itu, siapapun tak akan dapt pastikan sama ada pemandunya adalah seorang remaja atau orang dewasa. Setakat itu saja yang boleh saya komen tentang isu ini kerana ia sedang disiasat. Oleh itu, jangan buat sebarang spekulasi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara menderma darah oleh anggota polis di Pusat Darah Negara bersempena sambutan Hari Polis di Kuala Lumpur hari ini. - MALAYSIAKINI

......................................................

KESAL dengan kenyataan 'emo' Musa Hassan... Rakyat bukannya kutuk KESELURUHAN / SEMUA anggota polis, rakyat cuma mahukan kes ini disiasat seadilnya agar segala yang kusut terungkai. Rakyat juga kesal apabila mangsa tanpa usul-periksa dilabelkan sebagai PENJENAYAH.

Musa Hassan, kalau rasa dah tak mampu untuk mengemudi PDRM, rasanya inilah MASA TERBAIK untuk anda berundur dan menyerahkan kepimpinan PDRM kepada pegawai lain. Rasanya PDRM masih memiliki sekian ramai calon berwibawa untuk menerajui agensi yang bertanggungjawab menjaga keamanan negara ini. Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails