VVIP DENAI CINTA

28 April 2010

AMINULRASYID : SEMOGA SIASATAN POLIS TELUS DAN ADIL

Polis Teliti Laporan Rakan Aminulrasyid
SHAH ALAM : Polis akan meneliti dan menyiasat laporan yang dibuat oleh rakan Aminulrasyid Amzah yang berada bersamanya ketika ditembak mati oleh anggota polis peronda di Seksyen 11, di sini pagi kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar ketika mengesahkan menerima laporan rakan remaja yang mendakwa berada dalam kereta ketika kejadian, bagaimanapun enggan mengulas kandungan laporan kerana ia sebahagian siasatan yang sedang dijalankan.

"Polis sedang meneliti cerita rakan mangsa dan malam ini (malam tadi) polis akan rakamkan keterangannya serta memeriksa dengan saksi di tempat kejadian, termasuk mereka di restoran yang didakwa rakan mangsa, pemilik kereta dan motosikal. Laporan polis yang dibuat rakan mangsa akan disiasat bersama kes induk yang kini disiasat seorang pegawai kanan di IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen)."

Khalid berkata, polis akan menyiasat dengan terperinci dan tidak akan menutup sebarang fakta dan meminta keluarga mangsa tidak risau kerana polis tidak akan melindungi sesiapa pun. Jika anggota didapati bertanggungjawab dan melanggar undang-undang tindakan setimpal diambil.

Sementara itu, dalam laporan berkenaan, remaja itu mendakwa Aminulrasyid memandu laju kerana dikejar beberapa lelaki bermotosikal selepas kereta yang dipandunya bergesel dengan sebuah kereta lain ketika dalam perjalanan ke sebuah restoran mamak di Seksyen 7, di sini.

Dalam laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah di Seksyen 11, jam 10 malam kelmarin, dia juga mendakwa terdengar tembakan bertubi-tubi mengenai tayar belakang menyebabkan kereta itu terhuyung-hayang dan tergelincir.

Aminulrasyid dikatakan terus memandu dan ketika itu dia terdengar satu tembakan terakhir yang didakwanya mengenai kepala mangsa sebelum rebah ke ribanya. Rakan mangsa mendakwa apabila keluar dari kenderaan itu untuk menyerah diri, dia dipukul dan dipijak anggota polis terbabit, sebelum melarikan diri. - BERITA HARIAN

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails