VVIP DENAI CINTA

01 April 2010

Din Beramboi disyaki dijangkiti demam denggi berdarah

KUALA LUMPUR : Pelawak dan pelakon terkenal, Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi dirawat disyaki akibat demam denggi berdarah, bukannya akibat jangkitan virus air kencing tikus seperti yang didakwa pelbagai pihak.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Hassan Abdul Rahman, berkata ujian darah yang dijalankan Hospital Selayang mendapati beliau mendapat demam denggi berdarah dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu.

"Ia bukan demam akibat jangkitan virus air kencing tikus seperti yang dilaporkan sebelum ini, tapi demam denggi berdarah, laporannya sudah diterima hari ini (semalam). Setakat ini, perkembangan beliau bertambah baik, stabil dan masih memerlukan rawatan di ICU," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Din yang juga penyampai radio Era FM itu koma sejak kelmarin dipercayai dijangkiti virus air kencing tikus sehingga menyebabkannya mengalami pendarahan dalaman dan buah pinggangnya tidak berfungsi.

Sementara itu anak sulung pelawak terbabit, Nil Aina Adibah, 18 berkata, ayahnya begitu teringin untuk membawa mereka sekeluarga ke majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009, Ahad ini selepas tercalon bagi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular buat pertama kalinya.

"Dia sangat gembira apabila tercalon dalam top 5 ABPBH 2009 buat pertama kalinya dan ada menyatakan yang dia ingin membawa kami sekeluarga berjalan-jalan di Genting Highlands. Namun selepas kesihatannya tidak mengizinkan kami cukup sedih mengenangkan kesihatannya. Buat masa ini doktor mengatakan dia semakin stabil daripada semalam (kelmarin) dan bersyukur kerana begitu ramai kenalannya datang melawat dan mendoakannya," katanya yang ditemui pada jam 1.15 tengah hari, semalam.

Adik kepada Din pula, Shariffudin, memberitahu ahli keluarganya terkejut dengan laporan media mengatakan Din dirawat akibat virus terbabit dan memerlukan bekalan darah. "Pelbagai versi cerita yang saya dengar namun semuanya tidak sahih. Ini semua khabar angin. Abang saya dimasukkan ke hospital akibat denggi berdarah," katanya sambil meminta kerjasama semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan berdoa agar dia pulih. - BERITA HARIAN

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails