VVIP DENAI CINTA

27 Januari 2012

Permohonan Peguam Guna Laporan Polis Untuk Soal Balas Saksi Diputuskan Isnin

SHAH ALAM, 27 Januari : Mahkamah Tinggi di sini Jumaat menetapkan Isnin depan bagi memutuskan permohonan seorang peguam dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain untuk menggunakan laporan polis seorang saksi pendakwaan semasa menyoal balasnya. Hakim Datuk Akhtar Tahir menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.

Peguam Gurbachan Singh yang mewakili tertuduh kedua, T Thilaiyalagan, mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 145 Akta Keterangan 1950 untuk menyoal balas saksi ke-32 pendakwaan, pegawai soal siasat Cif Ins N. Govindan dengan merujuk beberapa laporan polis yang dibuat oleh saksi berkenaan dalam siasatan kes itu.

Seksyen 145 Akta Keterangan 1950 menyentuh mengenai pemeriksaan balas saksi berhubung pernyataan dahulu yang dibuat olehnya secara bertulis. Dalam hujahannya, Gurbachan berkata laporan polis berkenaan mungkin boleh digunakan untuk menunjukkan keterangan tidak konsisten saksi itu di mahkamah. "Saya hujahkan pernyataan dahulu termasuklah laporan polis," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin berhujah terdapat percubaan untuk menjadikan laporan polis itu sebagai asas bagi mencabar kebolehpercayaan Govindan. Beliau berkata prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi tidak boleh dibuat berdasarkan kepada laporan polis.

Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff pula berhujah terdapat perbezaan antara laporan maklumat pertama (FIR) dengan laporan polis. "Dalam kebanyakan kes, FIR yang digunakan di bawah Seksyen 145 tetapi laporan polis tidak boleh diterima," katanya.

Akhtar berkata kenyataan dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) tidak dibenarkan untuk ditender tetapi ia hanya boleh digunakan untuk prosiding mencabar kebolehpercayaan. "Jadi boleh ke laporan polis digunakan untuk mencabar (kebolehpercayaan) saksi?" soal Akhtar.

"Kami tidak memohon untuk laporan polis diterima tetapi hanya melakukan pemeriksaan balas saksi," jawab Gurbachan.

Dalam kes ini, bekas peguam N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010, dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, saksi ke-91 pendakwaan, pakar perubatan kecemasan, Dr Cheah Phee Keng, 35, berkata pada 14 Sept 2010 pihak polis telah membawa empat individu ke Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pengambilan sampel darah bagi ujian perbandingan DNA.

Dr Cheah, yang kini bertugas di Hospital Queen Elizabeth, Sabah berkata pengambilan sampel darah itu adalah berkaitan dengan siasatan kes bunuh itu. Katanya seramai tiga doktor ditugaskan untuk mengambil sampel darah milik keempat-empat individu berkenaan yang merupakan anggota keluarga mangsa.

Perbicaraan yang masuk hari ke-60 bersambung Isnin. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails