VVIP DENAI CINTA

30 Januari 2012

Mahkamah Tolak Permohonan Peguam Guna Laporan Polis Untuk Soal Balas Saksi

SHAH ALAM, 30 Januari : Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menolak permohonan seorang peguam dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain untuk menggunakan laporan polis seorang saksi pendakwaan semasa menyoal balasnya. Hakim Datuk Akhtar Tahir semasa memutuskan perkara itu berkata menurut Seksyen 145 Akta Keterangan 1950, pernyataan dahulu perlu diterima di mahkamah terlebih dahulu sebelum ia boleh digunakan dalam perbicaraan.

"Laporan polis bukanlah laporan maklumat pertama (FIR). Oleh sebab itu, adalah jelas ia tidak boleh diterima dan tidak boleh digunakan untuk menyokong atau menyanggah saksi," katanya.

Jumaat lepas, peguam Gurbachan Singh yang mewakili tertuduh kedua, T. Thilaiyalagan, mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 145 Akta Keterangan 1950 untuk menyoal balas saksi ke-32 pendakwaan, pegawai soal siasat Cif Ins N. Govindan, dengan merujuk beberapa laporan polis yang dibuat oleh saksi berkenaan dalam siasatan kes itu.

Seksyen 145 akta berkenaan menyentuh pemeriksaan balas saksi berhubung pernyataan dahulu yang dibuat olehnya secara bertulis. Dalam hujahnya sebelum ini, Gurbachan berkata laporan polis berkenaan mungkin boleh digunakan untuk menunjukkan keterangan tidak konsisten saksi, iaitu Govindan, di mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff pula berhujah terdapat perbezaan antara FIR dengan laporan polis dan dalam kebanyakan kes, FIR yang digunakan di bawah Seksyen 145 tetapi laporan polis tidak boleh diterima.

Dalam kes ini, bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Khatavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010, dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, saksi ke-86 pendakwaan, Pengarah Bahagian Forensik Jabatan Kimia, Lim Kong Boon semasa menyambung keterangannya berkata beliau menerima 98 eksibit daripada pegawai penyiasat ASP Ishak Yaacob untuk dianalisis. Lim berkata kesemua eksibit itu diterima secara berperingkat iaitu pada 27 Sept 2010 dan 11 Okt 2010.

Saksi itu turut mengesahkan penerimaan kesemua eksibit berkenaan dengan mengemukakannya di mahkamah termasuklah sebatang cangkul, enam keping zink dan sepasang kasut. Lim berkata selepas menerima kesemua eksibit itu, beliau menyimpannya di dalam bilik sejuk dan dikunci bagi memastikan ia tidak dicemari atau diusik.

Dalam keterangannya 12 Jan lepas, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa beliau menerima 54 eksibit daripada ASP Ishak untuk dianalisis iaitu pada 15, 17 dan 22 Sept 2010. Perbicaraan yang masuk hari ke-61 bersambung Selasa. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails