VVIP DENAI CINTA

11 Januari 2012

Sampel Tulang Tidak Dapat Dianalisis Kerana Rapuh

SHAH ALAM, 10 Januari : Seorang pensyarah Patologi Forensik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar perbicaraan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain bahawa beliau tidak dapat membuat kesimpulan terhadap sampel-sampel tulang di dalam kes itu.

Prof Dr Faridah Mohd Nor, 49, memberitahu mahkamah, beliau tidak dapat membuat ujian kaedah pemeriksaan tulang menggunakan mikroskop yang menjadi kepakaran beliau bagi menentukan sama ada tulang-tulang itu adalah tulang manusia atau haiwan kerana keadaan sampel yang rapuh.

Saksi ke-80 pendakwaan itu memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, R.Matan dan R. Khatavarayan yang dituduh membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010 dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Dr Faridah berkata beliau mendapatkan 10 bekas plastik yang berisi sampel tulang daripada Pegawai Perubatan Forensik hospital sama Dr Nurliza Abdullah yang meminta beliau melakukan analisis pada 26 Okt 2010.

Dr Faridah juga berkata beliau tidak diberitahu Dr Nurliza mengenai latar belakang dari mana tulang-tulang itu diperoleh. Beliau menyimpan kesemua 10 sampel tulang itu di dalam bilik mayat sebelum memulakan kerja-kerja pemeriksaan pada keesokan harinya, 27 Okt 2010.

Semasa beliau cuba menggergaji serpihan tulang yang diambil daripada salah satu 10 bekas pelastik itu, tulang itu hancur menjadi abu, katanya. Ditanya sama ada beliau meneruskan pemeriksaan ke atas sembilan lagi bekas plastik yang mengandungi sampel tulang itu, beliau berkata tidak kerana menjangka keadaan sama berulang sebagaimana sampel tulang pada bekas plastik pertama.

Dr Faridah berkata jika beliau berjaya memotong tulang itu, tulang berkenaan akan dikisar dengan tangan dan serpihan tulang itu akan dilarutkan dengan air sebelum dianalisis menggunakan mikroskop.

Semasa disoal balas peguam bela Patmanabhan, Manjeet Singh Dhillon siapakah yang memilih sampel tulang-tulang itu, Dr Faridah berkata beliau sendiri yang memilihnya untuk mencari sampel tulang terbaik daripada beratus-ratus sampel bagi tujuan pemeriksaan semasa soal balas itu.

Pada perbicaraan Selasa, mahkamah juga memanggil tiga lagi saksi iaitu Inspektor Syaiful Hakim Saim, 31, daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi yang membawa bekas isteri pemandu peribadi Sosilawati, Kamaruddin dan dua anak pasangan itu Balqis Dayana dan Izran Akmal ke Hospital Langkawi untuk mengambil sampel darah mereka pada 23 Sept 2010 bagi tujuan ujian DNA.

Dua lagi saksi ialah Inspektor Sufian Amin, 28, daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang mengambil spesimen darah tiga beranak itu daripada Syaiful di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Kuala Lumpur pada 24 Sept 2010 dan Inspektor Chien Wen Sin, 29, daripada IPD yang sama tetapi kini berkhidmat di IPK Selangor.

Chien pula membawa tiga lagi individu iaitu ibu kepada pegawai bank Noorhisham, Satinah Mokhtar; ibu Kamaruddin, Zainab Ahmad dan anak perempuan Sosilawati, Ernieriwati Sofiah Buhari untuk diambil sampel darah mereka di Hospital Kuala Lumpur pada 14 Sept 2010.

Hakim Datuk Akhtar Tahir menangguhkan perbicaraan hari ini dan ia akan bersambung Khamis ini. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails