VVIP DENAI CINTA

27 Januari 2012

Mahkamah Tolak Permohonan Untuk Cabar Kebolehpercayaan Saksi Pendakwaan

SHAH ALAM, 26 Januari : Mahkamah Tinggi di sini Khamis menolak permohonan pihak pembelaan untuk mencabar kebolehpercayaan seorang saksi pendakwaan yang memberi keterangan pada perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain. Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan sedemikian selepas meneliti keterangan saksi ke-32 pendakwaan, pegawai soal siasat daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Cif Insp N Govindan dan tiga laporan polis yang dibuat pegawai polis itu.

"Saya tidak nampak apa-apa material contradiction (percanggahan bahan) antara keterangan saksi di mahkamah dan laporan polis yang dibuatnya. Jadi saya tidak benarkan permohonan peguam untuk teruskan dengan impeachment proceeding (prosiding pencabaran)," katanya.

Mengenai permohonan pihak pembelaan sama ada dokumen yang digunakan dalam prosiding bicara dalam perbicaraan boleh diguna pakai dalam perbicaraan penuh, Akhtar berkata beliau telah meneliti dua nas undang-undang oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

Katanya beliau terikat dan perlu mematuhi nas undang-undang Mahkamah Persekutuan berkenaan yang memutuskan bahawa keterangan daripada prosiding bicara dalam perbicaraan tidak boleh diguna pakai dalam perbicaraan utama.

"Namun begitu pihak pembelaan membuat permohonan untuk tender dokumen (buku perharian balai) dalam perbicaraan utama dan pada tahap ini saya benarkan ia ditanda sebagai identification (ID) (pengecaman)," katanya.

Dalam kes ini, bekas peguam N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang T Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010, dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, ketika disoal balas peguam Amer Amzah Arshad yang mewakili Matan, Govindan menafikan dakwaan peguam itu bahawa beliau bersifat selektif dan mengelak daripada memberi maklumat tertentu semasa memberi keterangan di mahkamah.

Saksi pendakwaan itu berkata beliau mengetahui Thilaiyalagan, Matan dan Khatavarayan ada membuat laporan polis berhubung layanan yang beliau berikan semasa menyoal siasat mereka selepas dimaklumkan pegawai penyiasat kes itu.

"Setuju atau tidak membuat laporan polis palsu ialah satu kesalahan," soal Amer Hamzah dan Govindan menjawab setuju.

"Meskipun mereka membuat laporan (terhadap anda), kamu tidak membuat laporan polis terhadap suspek kerana membuat dakwaan palsu terhadap anda," kata Amer Hamzah dan saksi itu menjawab setuju.

Amer Hamzah turut merujuk Govindan dengan sekeping gambar yang menunjukkan Thilaiyalagan diapit dua anggota polis dalam keadaan bergari semasa pencarian barang kes di jambatan Kampung Sungai Endah, Banting, pada September 2010.

"Dalam keadaan bergari dan dikawal oleh polis, kemungkinan untuk Thilaiyalagan lawan dua anggota polis itu tidak ada," kata Amer Hamzah dan Govindan menjawab: "Tidak setuju".

"Setuju atau tidak di lokasi jambatan Kampung Sungai Endah ini, Thilaiyalagan diperlakukan secara kasar oleh anggota polis yang bertugas mengawalnya," kata Amer Hamzah dan saksi itu menjawab tidak setuju.

Perbicaraan yang masuk hari ke-59 bersambung esok (27 Januari 2012). - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails