VVIP DENAI CINTA

04 Ogos 2011

Saksi Dengar Wanita Menjerit Malam Sosilawati Dibunuh

SHAH ALAM, 3 Ogos : Seorang pembantu rumah warga Indonesia memberitahu Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain bahawa beliau mendengar dua kali jeritan wanita di kawasan ladang di Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat.

Saksi pendakwaan ke-33, Siti Hamidah Karnax, 18, berkata beliau mendengar jeritan wanita itu pada kira-kira pukul 9 malam, 30 Ogos 2010 semasa sedang mengisar adunan tose, sejenis makanan kaum India, di dalam asrama pekerja di ladang itu. Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani apakah reaksi beliau selepas mendengar jeritan itu, Siti Hamidah berkata beliau buat biasa sahaja manakala yang lain di dalam asrama itu sedang menonton televisyen dan menikmati tose.

Ditanya bagaimana bunyi jeritan itu, beliau berkata : "Aaaaaaahh", "Aaaaaaah" dan jeritan itu didengar selang satu ke dua saat. Siti Hamidah berasal dari Sunda, Indonesia adalah bekas pembantu rumah kepada peguam N.Pathmanabhan, 42, dan pekerja ladang R. Khatavarayan, 31, yang sedang dibicarakan bersama R. Thilaiyalagan, 20, dan R.Matan, 21, atas dakwaan membunuh Sosilawati, 47.

Keempat-empat mereka juga dituduh membunuh pegawai Bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam Sosilawati, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamarudin Shamsuddin, 44, di Lot No 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, Selangor di antara pukul 8.30 malam hingga pukul 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Siti Hamidah berkata kemudiannya pada kira-kira pukul 1 pagi, beliau diarahkan oleh Jacinta, isteri Khatavarayan, mengambil barang-barang di dalam rumah karaoke di dalam ladang itu. Sebelum itu, katanya beliau telah diarahkan oleh Jacinta untuk menyediakan dua helai kemeja t (satu berlengan dan satu tidak berlengan), seluar panjang sukan, tuala, syampu, bedak, baldi dan kunyit dan diletakkan di pintu belakang asrama pekerja.

Siti Hamidah berkata setibanya di rumah karaoke itu, beliau melihat barang-barang itu dalam keadaan bersepah dan nampak Khatavarayan bersama empat orang pekerja tetapi tertuduh pertama, Patmanabhan tidak kelihatan. Kepada soalan Idham apa lagi yang beliau nampak, Siti Hamidah berkata beliau ternampak api besar dekat rumah yang diduduki Thilaiyalagan di dalam ladang itu.

Ditanya sebesar mana api itu, katanya "setinggi pokok sawit" dan menurutnya beliau pernah nampak api di ladang itu semasa seorang lelaki yang bernama Raja dari India datang ke sana dan kali kedua semasa seorang lelaki yang dikenali sebagai Syafik datang ke ladang berkenaan.

Saksi itu juga memberitahu mahkamah, beliau juga nampak tiga lelaki dan seorang wanita berambut panjang separas bahu berjaket biru berada di pondok rehat di ladang itu pada pukul 7 malam, 30 Ogos 2010. Beliau berkata terdahulu sebelum pukul 5 petang, Jacinta telah mengarahkan beliau dan beberapa pekerja ladang supaya menutup tingkap dan pintu asrama.

Selepas itu, beliau diarahkan oleh Jacinta mengambil parang dan beliau mengambil dua parang dan satu pisau dari atas almari di dalam bilik Khatavarayan dan meletakkannya di belakang pintu dan nampak Khatavarayan meletakkan parang dan pisau itu ke dalam kenderaan pacuan empat roda, Isuzu D-Max berwarna kelabu.

Katanya kemudian beliau nampak Pathmanabhan datang dan berbincang dengan Khatavarayan di luar dan selepas itu Khatavarayan naik kereta dalam keadaan cemas.

Semasa disoal balas oleh peguam yang mewakili Pathmanabhan, Manjeet Singh Dhillon, Siti Hamidah mengakui beliau menipu umurnya 23 tahun di dalam pasportnya semasa memasuki Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Kelantan pada tahun 2008 sedangkan pada ketika itu beliau berumur 15 tahun.

Katanya beliau melarikan diri dari majikannya di Kelantan kerana mendakwa dipukul majikannya sebelum pergi ke Kuala Lumpur dan bekerja dengan Pathmanabhan pada Mac 2009 dan seterusnya dibawa ke ladang itu untuk bekerja dengan Khatavarayan pada Disember 2009.

Beliau juga mengakui pernah dipukul oleh isteri Pathmanabhan dengan pelepah kelapa sawit dan dipukul oleh Khatavarayan dan Jacinta dengan tangan serta rotan. Bagaimanapun, ketika disoal oleh Manjeet Singh mengapa beliau tidak melarikan diri sebagaimana yang dilakukan semasa di Kelantan, Siti Hamidah berkata: "Orang yang lari kalau ditangkap akan dipukul dengan teruk." Beliau juga menafikan dijanjikan oleh pihak polis hadiah selepas kes ini selesai.

Ketika disoal balas oleh Ravi Nekko, peguam yang mewakili Khatavarayan, sama ada beliau bersetuju bahawa pada 30 Ogos 2010, hari itu hujan, Siti Hamidah berkata : "tidak bersetuju". Saksi itu juga memberitahu bahawa Khatavarayan akan mandi kunyit jika ada "kebakaran".

Bagaimanapun, Siti Hamidah tidak bersetuju dengan cadangan Ravi bahawa Khatavarayan mandi kunyit apabila beliau balik lewat kerana ada bayi di dalam rumah itu iaitu anak Thilaiyalagan yang dibela Jacinta.

Beliau menafikan bahawa tindakannya memberi keterangan pada hari ini bermotifkan untuk membalas dendam dengan menegaskan bahawa ia bagi menyatakan kebenaran. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung Khamis. - Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails