VVIP DENAI CINTA

19 Ogos 2011

Kes Sosilawati : Penerbit Buletin Utama TV3 Diperintah Hadir Ke Mahkamah

SHAH ALAM, 19 Ogos : Sehari selepas wartawan dan editor Utusan Malaysia diperintah memberi penjelasan berhubung artikel yang didakwa 'menyerang' peribadi Manjeet Singh Dhillon, peguam dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan penerbit Buletin Utama TV3 pula berbuat demikian. Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Manjeet, yang mewakili N.Pathmanabhan, tertuduh pertama dalam kes itu.

Beliau juga berkata Raja Syahrir Abu Bakar dan editor Utusan Malaysia diperintah hadir di mahkamah minggu depan. Terdahulu, Manjeet mendakwa Buletin Utama menyiarkan berita yang kandungannya sama dengan artikel Utusan Malaysia bertajuk 'Manjeet selalu burukkan kerajaan' membabitkan temu bual Raja Syahrir dengan Anggota Parlimen Padang Serai N.Gobalakrishnan.

Beliau berkata berita itu ditonton rakyat di seluruh negara pada 8 malam, 17 Ogos lepas termasuk dua rakannya, peguam Amer Hamzah Arshad dan Datuk Ng See Teong. Semalam, Manjeet memaklumkan kepada mahkamah mengenai penerbitan artikel itu dalam Utusan Malaysia, yang didakwa subjudis terhadap perbicaraan kes berkenaan.

Beliau mendakwa akhbar itu tidak mempunyai asas mengeluarkan komen tidak benar bahawa terdapat campur tangan politik dalam perbicaraan kes tersebut, dan kononnya pembelaan dalam kes berkenaan diperalat pemimpin pembangkang.

Sementara itu, pada prosiding bicara dalam bicara, Timbalan Ketua Balai Balai Polis Selayang Sarjan Mejar Ranjit Singh berkata tertuduh kedua, ketiga dan keempat iaitu T.Thilaiyalagan, R.Matan serra R.Kathavarayan tidak pernah mengadu kepadanya semasa beliau melawat lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada 3.25 pagi dan 3.30 petang, 10 Sept lepas.

"Mereka berada dalam keadaan normal dan tidak mengalami masalah kesihatan," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin. Bagaimanapun, menjawab soalan Manjeet, beliau mengaku lawatannya ke lokap tidak dicatat dalam buku perharian balai.

Ranjit berkata perkara itu berlaku mungkin disebabkan anggota polis yang bertanggujawab terlupa atau tersalah pandang. Manjeet kemudian mempersoalkan istilah 'tersalah pandang' itu kerana beliau berkata tidak mungkin anggota polis yang menjaga lokap tidak perasan jika pegawai polis tersebut melakukan lawatan berikutan fizikalnya yang tinggi dan mudah dilihat.

Ranjit turut menolak cadangan peguam itu yang beliau tidak melawat lokap dan datang ke mahkamah untuk menyokong kes pendakwaan. Pegawai polis itu berkata ketika melakukan lawatan, beliau akan lalu dari lokap ke lokap, dan melalui pandangan mata kasar, akan mengetahui jika tahanan mempunyai masalah.

Ketika disoal peguam Amer Hamzah yang mewakili Kathavarayan, Ranjit berkata beliau tidak menerima sebarang aduan mengenai isu keselamatan atau perkauman daripada kesemua tertuduh dan tahanan berbangsa Melayu pada 10 dan 11 Sept 2010. Peguam itu kemudian mencadangkan tujuan tertuduh kedua dan ketiga dibawa keluar dari IPD Gombak dan ditempatkan di balai polis lain adalah untuk mengasingkan mereka.

"Saya tidak dimaklumkan (mengenai sebab perpindahan) oleh pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gombak (ketika itu) ASP M.Mariappan," kata Ranjit pada prodising yang diadakan bagi mengetahui keadaan minda serta kemungkinan berlaku tekanan terhadap Thilaiyalagan dan Kathavarayan semasa disoal siasat, sehingga membawa kepada penemuan barang kes.
Selepas prosiding bicara dalam bicara ditutup, Hakim Akhtar menetapkan Jumaat depan untuk hujahan bertulis dan Isnin ini bagi meneruskan perbicaraan utama kes itu.
Pathmanabhan, 42, bekas peguam, serta tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38, di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails