VVIP DENAI CINTA

09 Ogos 2011

BATAL KAHWIN : Bekas Tunang Disaman RM1.1juta

KUALA LUMPUR, 9 Ogos : Seorang penjawat awam yang sanggup membeli barang hantarannya di Amerika Syarikat, menyaman bekas tunangnya bagi menuntut ganti rugi lebih RM1 juta selepas wanita itu didakwa membatalkan majlis perkahwinan mereka lima jam sebelum akad nikah dilangsungkan pada 3 Jun lalu.

Mohd. Masran Ab. Rahman, 32, dari Kampung Banggol Kemunting, Tanah Merah memfailkan saman tersebut melalui peguamnya, Latifah Ariffin dan Murtadza Mokhtar di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Baru semalam. Masran menamakan bekas tunangnya, Zulyana Mat Hassan, 28, dan bapa wanita tersebut, Mat Hassan @ Mat Hussin Ibrahim, 60, sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam writ samannya, Masran yang tidak hadir di mahkamah semalam menuntut ganti rugi am sebanyak RM100,000, ganti rugi teruk (RM500,000) dan ganti rugi malu (RM500,000), lapor media tempatan hari ini. Akhbar Utusan Malaysia dan Sinar Harian berkata Masran turut menuntut ganti rugi khas yang tidak dinyatakan jumlahnya setelah mendakwa terlalu kecewa selepas dia banyak berkorban untuk memastikan majlis perkahwinan mereka berjalan lancar.

Zulyana yang bekerja sebagai juruteknik makmal perubatan didakwa datang ke rumah plaintif bersama bapanya kira-kira pukul 11 pagi, 3 Jun lalu untuk membatalkan perkahwinan mereka sedangkan majlis akad nikah dijadualkan berlangsung pukul 4.30 petang hari yang sama.

"Mereka tiba-tiba sahaja datang dan membatalkan perkahwinan sedangkan keluarga di pihak lelaki sudah bersedia malah semua persiapan untuk majlis perkahwinan di rumah wanita itu sudah tersedia," katanya dipetik Utusan.

Melalui kad jemputan perkahwinan pasangan itu, majlis persandingan di rumah pihak perempuan dijadual diadakan sehari selepas upacara akad nikah di Kampung Salor, Pasir Mas manakala persandingan di pihak lelaki pada 6 Jun di alamat Kampung Banggol Kemunting, Tanah Merah.

Latifah berkata jumlah saman tersebut adalah gambaran rasa kecewa, malu dan kerugian yang dialami oleh pihak plaintif sebagai anak golongan kenamaan, setelah mengundang lebih 1,200 tetamu ke majlis perkahwinannya. Malah katanya, disebabkan pembatalan tersebut, majlis persandingan di rumah pihak lelaki bertukar menjadi kenduri kesyukuran kerana kebanyakan jemputan telah hadir.

Selain itu katanya, barang hantaran yang disediakan oleh Mohd. Masran bukan sahaja dibeli di negara ini tetapi ada yang turut ditempah khas dari luar negara. Ia dilihat sebagai kes kedua dalam dua bulan ini di Kelantan.

Bulan lalu, seorang juruteknik kilang memfailkan saman di Mahkamah Tinggi ke atas bekas tunangnya menuntut ganti rugi berjumlah RM320,000 ($130,528) kerana membatalkan perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung pada 8 Jun.

Nik Mustafa Nik Daud, 30 tahun, dari Kampung Jedok Tua, Tanah Merah, dan bekerja di Bangi, Selangor, memfailkan saman menuntut bekas tunangnya, Cik Azlina Mohamed, 27 tahun, seorang pengurus restoran makanan segera di Serdang, Selangor, membayar ganti rugi am dan khas kerana mendakwa menanggung malu ekoran tindakan wanita itu. Lelaki tersebut turut menuntut supaya bekas tunangnya itu memohon maaf dalam akhbar berbahasa Melayu atas tindakannya membatalkan perkahwinan itu selama tiga hari berturut-turut. - TheMalaysianInsider

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails