VVIP DENAI CINTA

10 Ogos 2011

Kes Sosilawati : Lawat Lokasi Kejadian Esok

SHAH ALAM, 9 Ogos : Pihak-pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya termasuk empat tertuduh akan dibawa melawat tempat kejadian Rabu. Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Akhtar Tahir juga memerintahkan keempat-empat tertuduh iaitu bekas peguam N.Pathmanabhan, 41, pekerja ladang T.Thilaiyalagan, 20, R.Matan, 21, dan R.Khatavarayan, 31, turut serta.

Mereka didakwa membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos, 2010.

Pada perbicaraan Selasa, peguambela Pathmanabhan, Manjeet Singh Dhillon, memberitahu mahkamah anak guamnya dan Khatavarayan tidak hadir hari ini kerana sakit dan dibawa ke hospital. Ketua Pendakwaan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff berkata tempat kejadian yang ingin dilawati pihak pendakwaan ialah di sekitar Subang Jaya dan Banting.

Pada prosiding hari ini, saksi ke-35 pendakwaan, Lans Koperal Salmi Putit, 35, tidak bersetuju dengan cadangan peguambela Matan, Amer Hamzah Arshad, bahawa petak tempat letak kereta di mana kereta BMW berwarna gelap dengan nombor pendaftaran AAJ 5 ditemui adalah berdekatan rumah kedai.

Beliau yang bertugas sebagai penyiasat tempat kejadian (CSI) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur juga tidak bersetuju dengan Amer Hamzah semasa disoal balas bahawa petak letak kereta yang bernombor adalah kawasan letak kereta berbayar.

Sebelum itu, semasa disoal balas oleh Manjeet, Salmi berkata petak letak kereta di hadapan Hotel Dorsett Subang Jaya di mana kereta BMW milik peguam Ahmad Kamil ditemui, adalah tidak berbayar. Bagaimanapun, ketika ditanya Manjeet bagaimana beliau mengetahui tempat letak kereta itu tidak berbayar, Salmi berkata beliau telah bertanyakan kepada penghuni rumah berhampiran yang menyatakan petak letak kereta itu adalah percuma.

Sementara itu, saksi ke-36 pendakwaan Sarjan Mohammed Dahlan Rasi, 50, memberitahu mahkamah bahawa sebaik tiba di kawasan parit di Jalan Gelanggang Buaya, Kampung Kelanang Banting pada 5.45 petang 14 Sept tahun lepas, beliau mendapati para penyelam polis marin telah berada dalam parit.

Beliau yang merupakan Penolong Pegawai Penyiasat CSI IPK Kuala Lumpur, semasa disoal balas oleh Manjeet, memberitahu Cif Inspektor N.Govindan juga telah tiba awal daripada beliau di Jalan Gelanggang Buaya. Mohammed Dahlan juga memberitahu semasa beliau tiba di situ, anggota polis marin masih belum menemui kepingan zink yang merupakan antara barang bukti perbicaraan itu.

Bagaimanapun, kira-kira sepuluh minit kemudian, barulah para anggota polis marin membawa keluar kepingan zink berkenaan yang kemudiannya dibalut dengan kertas minyak oleh anggota CSI dari IPK Kuala Lumpur dan Bukit Aman, katanya.

Ketika disoal balas oleh Amer Hamzah, beliau bersetuju bahawa anggota polis biasa tidak boleh berbuat apa-apa di tempat kejadian sehingga anggota CSI tiba. Mohammed Dahlan juga bersetuju dengan soalan Amer Hamzah bahawa semasa di Jalan Gelanggang Buaya, sebelum CSI tiba, sudah ada aktiviti pencarian dijalankan, dan ini melanggar peraturan siasatan. - Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails