NI DIA... Alias bersama isteri, Salmah menunjukkan buku risalah
yang masih disimpannya berkaitan penentangan Malayan Union
yang masih disimpannya berkaitan penentangan Malayan Union
myMetro
SEGAMAT : Percaya atau tidak, lelaki berusia 97 tahun ini masih terang penglihatannya serta mampu pergi ke kebun serta bercucuk tanam selain memandu kenderaan, termasuk kereta mahupun motosikal, tanpa berteman. Daya ingatannya juga masih tajam selain mengingati detik bersejarah negara, termasuk perjuangan Melayu dalam menentang Malayan Union sekitar 1948.
Alias Bujal tidak mengamalkan apa-apa senaman istimewa, malah tidak pernah menuntut ilmu pusaka yang berkebolehan tinggi. Dia hanya mengamalkan pengambilan makanan berasaskan sayuran, termasuk ulam-ulaman seperti pucuk paku, ulam pegaga, ulam raja, petai dan jering.
Beberapa jenis ulaman berkenaan diamalkan warga emas itu setiap hari, malah dia mengakui sayuran kampung itu adalah petua serta kunci utama untuk sentiasa sihat selain lanjut usia. Lebih menarik lagi, Alias turut menjadikan ulam-ulaman sebagai minuman harian yang diambil bersama madu lebah dan juga telur ayam kampung secara mentah. Selain itu, dia mengamalkan mengunyah bawang putih mentah setiap hari sebagai petua awet muda.
"Kalau watak kartun Popeye makan bayam untuk jadi kuat, begitu juga yang saya amalkan sejak berusia belasan tahun lagi. Tidak lengkap makanan saya setiap hari tanpa ulam-ulaman kampung dimakan bersama nasi, nampaknya petua yang diamalkan itu berbaloi kerana sehingga kini saya masih boleh melihat kemajuan negara," katanya.
Selain memakan ulam-ulaman, Alias mendedahkan dia tidak pernah meminum air sejuk kerana menyifatkan bahan minuman sebegitu mengakibatkan badan menjadi lesu serta cepat letih. "Air sejuk tidak elok untuk badan kerana boleh mengakibatkan pelbagai penyakit selain semput, lelah, asma dan demam.
"Pak cik boleh demam jika minum air sejuk," katanya yang masih boleh menghayun cangkul, membajak tanah selain tidak perlu memakai cermin mata untuk membaca mahupun ketika memandu kereta atau menunggang motosikal. Penulis melihat sendiri bagaimana lelaki berusia emas itu masih mampu memandu kereta selain bercucuk tanam dengan menghayun cangkul di belakang rumahnya.
Warga emas ini mengakui mempunyai empat isteri yang dikahwininya sejak 1930-an sehingga kini dan hasil perkongsian hidup bersama empat wanita berbeza itu dia dikurniakan empat cahaya mata. Difahamkan, menerusi dua perkahwinan pertama, dia dikurniakan dua anak lelaki, manakala hasil perkahwinan ketiga, dua anak perempuan.
Semua isterinya berasal dari Johor iaitu isteri pertama dari Labis; kedua, Kota Tinggi; ketiga, Segamat dan isteri keempat, juga dari Labis. Bagaimanapun, Alias dikatakan hanya berkahwin baru selepas isteri terdahulunya meninggal. Alias bersyukur walaupun usianya mencecah 100 tahun dia masih boleh melihat 30 cucunya lahir ke dunia, malah berkesempatan mengazankan seorang daripada 14 cicitnya.
Katanya, dia kini tinggal berdua bersama isteri keempatnya, Salmah Hussein, 59, di Kampung Tenang, di sini, sejak lima tahun lalu. Ketika menceritakan pengalamannya melalui beberapa peristiwa yang mengubah sejarah negara mahupun dunia, Alias berkata, dia masih ingat saat pemimpin terdahulu menuntut kemerdekaan Malaysia.
"Saya bersama Datuk Onn Jaafar pergi menjelajah satu Malaya untuk menentang penindasan dilakukan pemerintah Inggeris melalui Malayan Union. Saya juga merasa keperitan dijajah tentera Jepun dan komunis selain diseksa, termasuk dipaksa melakukan kerja berat seperti membina landasan kereta api," katanya.
Menurutnya, penindasan demi penindasan diterima orang Melayu ketika itu akhirnya membangkitkan satu semangat bersatu padu dan melawan demi menuntut kemerdekaan. Alias juga dianggap antara pejuang kemerdekaan oleh penduduk setempat, malah beliau tidak lokek berkongsi pengalaman bersama generasi muda setempat.
Dia yang dilahirkan pada 1914 berkata, pada usia emasnya dia melihat beberapa perubahan negara, termasuk bersalaman dengan empat mantan Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Mahathir Mohamad.
Namun, di sebalik usia emasnya dia melahirkan rasa kecewa apabila generasi muda kini lebih gemar berfoya-foya dan semakin melupakan sejarah kemerdekaan negara, malah semakin rosak akhlak dari semasa ke semasa.
Seperkara menarik mengenai Alias, dia tidak pernah gagal menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia apabila 12 kali mengundi di kawasan Parlimen Labis dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang sejak puluhan tahun lalu. "Pada 30 Januari (hari ini), saya akan mengundi buat kali ke-13 dan mungkin jika panjang umur murah rezeki saya akan mengundi kali ke-14 pada Pilihan Raya Umum ke-13," katanya.
SIAPA RAJIN, AWET MUDA
KUALA LUMPUR : "Mempunyai kesihatan baik pada usia senja boleh dicapai oleh sesiapa saja asalkan rajin menjaga badan untuk menjadikan kita awet muda," kata Perunding Geriatrik Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Rajbans Singh. Beliau berkata, jaga badan dimaksudkan bukan sekadar mengekalkan berat badan seimbang, sebaliknya memberi perhatian kepada soal pemakanan, aktiviti harian, kesihatan minda dan ketenangan jiwa.
"Paling penting ialah menjaga pemakanan dengan mengurangkan makanan berlemak dan melebihkan pengambilan sayuran, buah-buahan, kekacang dan bijirin. Ia bukan saja membekalkan serat, tetapi turut mengandungi pelbagai khasiat yang mampu membantu pencegahan pelbagai jenis penyakit selain dapat mengelak masalah kegemukan."
Kegemukan diakui boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit gaya hidup kronik seperti kencing manis, sakit jantung, strok dan tekanan darah tinggi. Ini antara penyakit yang boleh membuatkan badan kita lebih cepat tua daripada usia sebenar. Dengan mengamalkan pemakanan sihat, penyakit ini dapat dikawal dengan lebih baik," katanya.
Beliau mengulas kehebatan Alias yang masih mempunyai penglihatan terang, boleh memandu dan mampu menghayun cangkul untuk berkebun pada usia 97 tahun. Menurutnya, gaya hidup aktif juga sangat penting kerana kajian menunjukkan individu kurang aktif mempunyai kebarangkalian dua kali ganda untuk mendapat serangan jantung dan mati lebih awal.
"Ramai orang kini mati awal akibat penyakit gaya hidup yang dianggap penyakit kronik; sedangkan ia sebenarnya boleh dicegah. Selain menjaga pemakanan, badan kita boleh 'dimudakan' dengan bersenam. Dalam satu kajian mendapati warga emas yang menjalani latihan cergas selama setahun boleh berlari pecut 100 meter dalam masa 13 saat.
"Bagaimanapun kesihatan badan saja tidak mencukupi, ia perlu dilengkapi dengan kesihatan mental dan antara cara menjaga kesihatan mental ialah bersenam, mempunyai hubungan baik dengan keluarga, kawan dan masyarakat serta mendekatkan diri pada agama. Pada masa sama perlu hentikan perlakuan yang boleh sabotaj kesihatan seperti merokok," katanya.
2 ulasan:
wahhhhh.
:))
power rangers pakcik ni... heh heh... ;)
Catat Ulasan