VVIP DENAI CINTA

07 Januari 2011

MALAYSIA Pengeluar Utama Minyak Sawit Dunia Tetapi Rakyat Sukar Mendapatkan Minyak!!!

CAP Bimbang Minyak Masak Tidak Cukup
HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 6 Jan : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas dengan segera terhadap pengeluar minyak masak bagi menangani masalah kekurangan bekalan itu yang semakin menular ke seluruh negara. Walaupun menteri berkenaan memberikan jaminan kepada pengguna bahawa harga minyak masak tidak akan berubah pada waktu ini dan jaminan bekalan yang mencukupi tetapi ia tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Menurut Presidennya, SM Mohamed Idris (gambar), tindakan tegas terhadap pengeluar perlu diambil memandangkan terdapat mereka yang mengambil kesempatan untuk mendapat keuntungan dengan mengeksport minyak masak ke luar negara kerana ia lebih menguntungkan.

"Sikap pengeluar yang lebih mementingkan keuntungan ini telah membebankan rakyat biasa yang terpaksa berdepan dengan ketiadaan bekalan minyak masak terutama sekali minyak masak yang dijual dalam bentuk paket kecil."

"Dalam perkara ini kerajaan perlu bertindak tegas dengan membatalkan dengan segera lesen pihak pengeluar yang melakukan kegiatan ini demi untuk memastikan jaminan keselamatan makanan negara terjamin," katanya.

Tinjauan yang dibuat di beberapa kedai runcit dan pasar raya di Pulau Pinang juga ujarnya mendapati bekalan minyak masak terutama sekali di dalam bungkusan paket kecil tidak dapat diperolehi oleh pengguna. "Isu bekalan minyak masak di dalam paket kecil sering menjadi masalah kerana pihak pengeluar tidak dapat menaikkan harganya kerana ia dikategorikan di bawah barangan kawalan harga."

"Kerajaan juga perlu menangani segera masalah ini kerana ia juga melibatkan jaminan keselamatan makanan negara yang amat penting sekali kerana ia merupakan keperluan asas bagi rakyat," tambahnya. Jika bekalan minyak masak mencukupi di pasaran sudah tentu pengguna tidak akan melakukan pembelian panik akibat dicetuskan oleh kekurangan bekalan di pasaran dan kebimbangan akan berlakunya kenaikan harga.

Oleh itu kerajaan perlu memastikan keadaan bekalan sentiasa terkawal dan terjamin terutama sekali bekalan minyak masak dalam paket yang mampu dibeli dan menjadi keperluan utama golongan bawahan. Kerajaan juga perlu mengambil tindakan terhadap kegiatan orang tengah yang sering memanipulasi keadaan dan mengambil kesempatan terutama sekali di peringkat ladang sehinggalah kepada pihak pengilang.

"Ini semua melibatkan masalah sistem pemasaran sedia ada yang perlu disemak semula oleh kerajaan terutama sekali dalam masalah yang melibatkan sistem pengedaran daripada peringkat pengeluar sehinggalah kepada pengguna. Kekurangan bekalan minyak masak ini tidak seharusnya berlaku di negara kita kerana Malaysia merupakan negara pengeluar dan pengeksport utama produk minyak sawit dunia," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails