VVIP DENAI CINTA

11 Januari 2011

Pendengaran Semakan, Rayuan Kes Lupus Mayat Sosilawati Ditetapkan 26 Januari

BERNAMA
SHAH ALAM, 10 Jan : Selepas tiga kali ditangguh, pendengaran permohonan semakan dan rayuan yang difailkan pekerja ladang K. Sarawanan yang dipenjara tujuh tahun bagi kesalahan melupuskan mayat jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, ditangguhkan sekali lagi sehingga 26 Jan ini oleh Mahkamah Tinggi di sini Isnin.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Amer Hamzah Arshad, peguam pemerhati bagi tertuduh-tertuduh kes pembunuhan itu, N. Pathmanabhan, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Khatavarayan, yang meminta lebih masa untuk pihaknya menjawab afidavit jawapan yang difailkan pihak pendakwaan pada Jumaat lepas.


Amer Hamzah sebelum ini memfailkan notis usul untuk mendapatkan kebenaran mencelah dan diberi peluang untuk berhujah dalam perkara berbangkit semasa proses semakan dan rayuan itu berjalan. Permohonan notis usul itu menamakan pendakwa raya, Sarawanan, 19, dan U. Suresh, 26, yang turut sama-sama dihukum penjara tujuh tahun atas tuduhan sama sebagai responden.

Pada 15 Okt tahun lepas, Sarawanan dan Suresh dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengangkat, membakar dan membuang abu mayat Sosilawati, 47, dan tiga individu lain iaitu pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Rahim, 32, dan pemandu jutawan itu, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 41, seorang bekas peguam dan pekerja ladang Thilaiyalagan, 19, Matan, 20, dan Khatavarayan, 30, masing-masing didakwa atas tuduhan membunuh keempat-empat mangsa. Terdahulu, Amer Hamzah berkata setelah meneliti afidavit jawapan yang difailkan pihak pendakwaan terdapat beberapa fakta yang perlu pihaknya perjelaskan.

"Ini sesuatu di luar kawalan kami kerana pihak pendakwaan hanya menyerahkan afidavit balasan pada Jumaat lepas dan kami tidak dapat mendapat arahan (daripada anak guam) untuk ikrarkan afidavit jawapan hari ini."

"Berhubung responden ketiga (Suresh) pihak kami telah buat beberapa cubaan untuk serah notis usul kepada firma guaman yang mewakili responden (Suresh) tetapi gagal dan kami cuba dapatkan bantuan Majlis Peguam berhubung alamat peguam cara tetapi kami juga gagal," katanya.

Bagaimanapun Amer Hamzah berkata pihaknya bersedia sekiranya mahkamah ingin meneruskan prosiding pada hari ini asalkan afidavit jawapan pihak pendakwaan diketepikan. Mohtarudin kemudian berkata mahkamah pada tarikh sebelum ini telah memberikan masa mencukupi kepada semua pihak bagi membuat persediaan.

"Kalau mahkamah tidak berikan penangguhan nanti kata mahkamah tidak adil tetapi kalau mahkamah memberi penangguhan persepsi orang ramai kata mahkamah mudah beri penangguhan. Ini seperti pepatah 'ditelan mati emak, diluah mati bapak'."

"Saya harap kamu akan akan failkan (afidavit jawapan) secepat mungkin serta serah pada responden. Responden kalau nak jawab, jawab tetapi saya rasa dah panjang lebar dan lagi lama saya nak tunggu. Ini bukan sahaja libatkan kita tetapi libatkan banyak kesusahan pada orang lain tetapi demi keadilan saya benarkan (penangguhan)," katanya.

Ketika Mohtarudin meminta prosiding rayuan diteruskan, peguam A.S. Dhaliwal yang mewakili Sarawanan juga memohon masa untuk menjawab afidavit jawapan yang diserahkan pihak pendakwaan pada hari yang sama (Jumaat).

"Saya tetapkan 26 Jan ini untuk mendengar semakan dan rayuan dan harap semua pihak akan bertolak ansur. Saya lebih khuatir kerana permohonan ini tidak pernah dilakukan sebelum ini. Bagi kes sivil perkara ini biasa tetapi bagi kes jenayah ia satu perkara yang baru dan mahkamah perlu putuskan beberapa isu perundangan," kata Mohtarudin.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails