VVIP DENAI CINTA

15 Januari 2011

Keraguan Dalam Kefahaman Agama Punca Melayu Kurang Derma Organ - NTRC

KUALA LUMPUR, 14 Jan : Keraguan dalam kefahaman agama menjadi antara faktor orang Melayu kurang aktif menderma organ berbanding kaum lain di Malaysia, kata Ketua Koordinator Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) Datin Dr Lela Yasmin Mansor. Beliau berkata sejak 1976, terdapat hanya 17 penderma organ Melayu berbanding bangsa Cina 179 dan India 81.

"Memang terdapat fatwa membenarkan pendermaan organ dan fatwa itu telah terpakai sejak 1970-an lagi, malah turut diamalkan di setiap negeri di mana menderma organ adalah sesuatu yang harus, yang dianggap sebagai amal jariah untuk membantu orang lain."

"...Tetapi pendermaan itu bersyarat, dan syarat itu mesti dipenuhi seperti tujuan pendermaan itu adalah untuk menyelamatkan nyawa, bagi pendermaan oleh orang yang masih hidup, ia mestilah tidak menjejaskan orang itu, dan kalau yang mati, mesti disahkan ia telah meninggal bukannya dibunuh, dan penerimaan organ itu juga perlu dibuktikan boleh berjaya, bukan sekadar uji kaji," katanya pada sidang akhbar Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ di sini. Hadir sama pengerusi jawatankuasa itu, Tan Sri Lee Lam Thye.

Dr Lela berkata walaupun ramai di kalangan masyarakat, khususnya mereka yang beragama Islam, sedar akan fatwa itu namun masih terdapat kekeliruan apabila ahli agama di peringkat bawah sering menimbulkan persoalan berhubung pendermaan organ, iaitu jenazah seharusnya tidak diseksa dan perlu segera disemadikan.

Beliau berkata dalam aspek itu, NTRC sebagai pengurus dan penyelaras transplan, akan memastikan pembedahan dilakukan mengikut prosedur, kehendak keluarga serta jenazah yang dikembalikan perlu berada dalam keadaan sempurna.

"Sebenarnya, semasa membuat pembedahan, kita lakukan seperti mana prosedur kepada orang yang masih hidup, dengan segala langkah dan aturan pembedahan dipatuhi, malah dari segi tertibnya, kita lakukan dengan lebih hormat lagi."

"Kami sebagai pengurus dan penyelaras transplan yang bertanggungjawab kepada penderma, akan menentukan apabila jenazah dipulangkan, ia mesti berada dalam keadaan baik, selain tidak membenarkan pihak yang membuat pembedahan mengambil lebih daripada apa yang telah didermakan," katanya.

Beliau berkata mereka juga akan memastikan pembedahan itu tidak menjejaskan rupa bentuk jenazah, dan jika ada kemungkinan berlaku perubahan kepada jenazah, pembedahan itu tidak akan diteruskan.

Dr Lela berkata bagi mengatasi kesangsian masyarakat, pihaknya akan memperhebatkan penglibatan majlis agama seperti Jabatan Kemajuan Islam dan Institut Kefahaman Islam Malaysia dalam setiap kempen, selain mengadakan forum perdana serta khutbah Jumaat berkaitan kebaikan pendermaan organ mengikut perspektif Islam.

Sementara itu, Lee berkata sehingga Disember tahun lepas, Kementerian Kesihatan merekodkan seramai 151,567 orang pengikrar penderma organ dengan kaum Cina menjadi pengikrar tertinggi, iaitu sebanyak 57.29 peratus. Katanya, daripada jumlah itu, golongan muda lingkungan 21 hingga 30 tahun merupakan pengikrar tertinggi dengan 33.01 peratus.

Beliau berkata sasaran 20,000 orang pengikrar bagi tahun 2010 berjaya diatasi dan NTRC menerima sejumlah 23,718 permohonan daripada orang awam untuk mendaftar sebagai penderma organ.

"Melihat kepada peningkatan bilangan pengikrar penderma organ, jawatankuasa memutuskan untuk meneruskan Sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ, yang akan diadakan pada 16 hingga 24 Okt depan, dengan remaja berusia antara 15 hingga 25 tahun menjadi sasaran kempen," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails