VVIP DENAI CINTA

07 November 2010

Pakar Akrobatik Ahdli Tunjuk Persembahan Di Ekspo Cheng Hoo Di Kelantan

KOTA BAHARU, 7 Nov : Pengunjung Ekspo Cheng Hoo yang pertama kali diadakan di Kelantan berpeluang menyaksikan pakar akrobatik terkenal dunia dari China, Ahdli yang akan mengadakan persembahan di sini selama enam hari mulai 21 Nov ini. Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, sebanyak 16 acara persembahan akan diadakan sepanjang ekspo itu termasuk mengayuh roda di atas tali dan pertunjukan oleh 10 anggota pasukannya termasuk wanita.

"Pertunjukan itu melibatkan persembahan di atas regangan tali sejauh 80 meter dan 21 meter tinggi di tengah-tengah Stadium Sultan Muhammed Ke-IV. Inilah pertama kali rakyat Kelantan, malah Malaysia berpeluang menyaksikan pertunjukan akrobatik bertaraf dunia melibatkan pakar akrobatik terkenal Ahdli dari China," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, di Kota Darulnaim, pada hari Ahad.

Turut hadir pada sidang media itu ialah adik Ahdli, Alim untuk meninjau tempat dan aspek teknikal sebelum mengadakan persembahan mereka. Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Ekspo Cheng Hoo berkata, pertunjukan akrobatik itu merupakan kemuncak ekspo perdagangan Kelantan-China yang pertama diadakan sebagai pencetus menggalakkan pelaburan China ke negara ini, khasnya di Kelantan.

Katanya, tiket-tiket berharga RM5 bagi orang dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak akan dijual di stadium berkenaan pada hari persembahan. Menurut beliau, Ahdli, 39, adalah generasi keenam keluarga akrobatik China tersebut yang pernah mencipta enam rekod dunia, termasuk rekod pertama berjalan atas tali sejauh 1,500 meter di China.

Ditanya mengenai peruntukan yang dibelanjakan kerajaan negeri untuk membawa pakar akrobatik itu membuat persembahan di sini, Husam berkata kerajaan negeri tidak menghabiskan perbelanjaan yang banyak. "Kos perbelanjaan kebanyakannya akan ditanggung oleh penaja terdiri daripada syarikat-syarakat swasta di negeri ini," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails