VVIP DENAI CINTA

02 November 2010

Keluarga Sosilawati Fail Saman RM60 Juta

BERNAMA

SHAH ALAM, 2 Nov : Keluarga Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya Selasa memfailkan saman terhadap N Pathmanabhan dan lima pekerja ladang yang didakwa terlibat dalam kes kematian jutawan kosmetik itu bagi menuntut ganti rugi RM60 juta.

Keenam-enam anak Sosilawati, iaitu Erni Dekritawati Yuliana Buhari, Erwan Suwari, Rizuwan Buhari, Md Erwan Nasri Buhari, Erni Rineelawati Buhari dan Siti Nur Fatimah Buhari memfailkan saman itu melalui Tetuan Kamarudin & Partners di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 8.45 pagi.
Selain Pathmanabhan, mereka juga menamakan K Kathavarayan, R Mathan, T Thilailayagan, J Sarawanan dan U Suresh, kesemuanya pekerja ladang milik Pathmanabhan, sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, kesemua anak Sosilawati antara lain mendakwa bahawa kematian ibu mereka pada usia 47 tahun telah menyebabkan mereka mengalami trauma dan penderitaan yang berterusan.

Mereka berkata bahawa pada 30 Ogos lepas, ibu mereka bersama pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim telah pergi ke Banting untuk berurusan dengan Pathmanabhan dan keempat-empat mereka kemudian diarahkan oleh Pathmanabhan atau pekerjanya untuk pergi ke sebuah ladang terletak di Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Menurut keluarga itu, pada 31 Ogos lepas dan 2 Sept lepas, Erni Dekritawati telah membuat laporan polis selepas Sosilawati tidak pulang ke rumah, dan pada 9.30 malam 6 Sept lepas, kereta jenis BMW bernombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati telah ditemui di Apartment Angsana di USJ 1 Subang Jaya manakala kereta milik Noorisham telah ditemui di Petaling Jaya.

Anak-anak Sosilawati mendakwa Pathmanabhan dan Thilailayagan telah dituduh di mahkamah kerana membunuh ibu mereka dan kes itu sedang menunggu untuk dibicarakan sementara Sarawanan dan Suresh telah mengaku bersalah melupuskan mayat kesemua mangsa dan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun.

Keluarga itu berkata ibu mereka telah menubuhkan perniagaan kosmetik Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd yang merupakan pembekal produk Nouvelle Visages pada 1998 dengan modal RM500,000 serta modal aliran RM200,000, dan dalam masa 10 tahun, Sosilawati mempunyai 300 kedai dan pembekal di seluruh negara termasuk di Brunei, Singapura dan Thailand.

Menurut mereka, Sosilawati dan Erni Dekritawati merupakan pengarah syarikat itu dengan aset keseluruhan berjumlah RM6.37 juta, jumlah liabiliti RM5.01 juta dan simpanan berjumlah RM1.16 juta. Pada tahun kewangan berakhir 2007, syarikat itu memperoleh keuntungan bersih RM183,173 dan keuntungan keseluruhan berjumlah RM7.54 juta.

Keluarga itu berkata pada 2007, ibu mereka merupakan seorang daripada enam wanita yang telah dipilih untuk menerima anugerah 'Wanita Nadi Negara' dari Johor kerana sumbangan dan pencapaian luar biasanya dalam perkhidmatan kepada masyarakat, perniagaan dan pembangunan bangsa.

Menurut mereka, perniagaan kosmetik Sosilawati dijangka menerima lebih banyak keuntungan di bawah visi dan kepimpinan korporat ibu mereka yang turut memulakan beberapa projek lain untuk memperluaskan perniagaannya.

Anak-anak Sosilawati berkata, ibu mereka pada setiap masa sentiasa memberi sokongan dan kasih sayang kepada mereka serta menjadi pendorong kepada kerjaya anak sulung, anak keduanya dan masa depan anak ketiga serta anak bongsunya tetapi (kasih sayang ini) direntap secara tragik berikutan kematian wanita itu.

Anak-anak Sosilawati menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am berjumlah RM20 juta, ganti rugi teladan atau hukuman berjumlah RM40 juta, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam mereka, Kamarudin Ahmad ketika ditemui pemberita, berkata keluarga Sosilawati menuntut ganti rugi RM60 juta selepas mendapat maklumat terbaru bahawa Sosilawati berhasrat menyenaraikan syarikatnya di Bursa Malaysia. Kesemua anak Sosilawati bagaimanapun tidak hadir di mahkamah hari ini. Kamarudin berkata saman itu difailkan bertujuan menghantar mesej kepada orang awam bahawa jenayah seperti yang didakwa dilakukan oleh keenam-enam tertuduh perlu diberi hukuman yang berat.

Ditanya sama ada keluarga Kamaruddin, Noorhisman dan Ahmad Kamil akan turut memfailkan saman, beliau berkata pihaknya telah memaklumkan mengenai perkara itu tetapi sehingga kini keluarga ketiga-tiga mangsa belum memberikan sebarang maklumat balas. Selain Kamarudin, keluarga Sosilawati turut diwakili peguam Won Walter Pereira dan Annie Gomez.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails