VVIP DENAI CINTA

30 November 2011

Kes SOSILAWATI : 11 Telefon Bimbit Dihantar Untuk Analisa

SHAH ALAM, 29 November : Seorang juruanalisis jenayah komputer memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa 11 telefon bimbit yang merupakan antara barang-barang kes dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, dihantar kepadanya untuk dianalisis.

ASP Mohd Zulkifly Mohd Isa, 31, dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkata beliau turut menerima permohonan untuk menganalisa kad SIM, kad memori, bateri telefon bimbit serta satu "thumbdrive" dari pegawai penyiasat ASP Ishak Yaacob dan seorang pegawai polis bernama Inspektor Suzana. Beliau yang merupakan saksi ke-76 pendakwaan berkata semua barang kes itu diterima pada 17 dan 20 Sept tahun lepas.

"Dua telefon bimbit jenis Blackberry berwarna hitam dan putih diberi kepada saya dalam keadaan lembab serta terdapat wap di skrin telefon. Selepas barang kes didaftarkan, saya on blower untuk keringkan kedua-dua telefon bimbit itu dan ia kemudian disimpan dalam makmal telefon bimbit dalam keadaan berkunci," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.

Mohd Zulkifly memberi keterangan pada hari ke-53 perbicaraan kes bekas peguam N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang T Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan yang dituduh membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos tahun lepas. Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Link
Saksi itu berkata pada 23 Sept dan 1 Okt tahun lepas, beliau menyerahkan semula barang kes berkenaan kepada Inspektor Suzana. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok (30 November). - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails