VVIP DENAI CINTA

16 November 2011

Asian Broadcasting Network (ABN) Bakal Saingi ASTRO?

Alhamdulillah, ini berita baik buat rakyat/pengguna yang melanggan siaran televisyen berbayar. Tahun hadapan, sebuah lagi syarikat yang menyediakan siaran televisyen berbayar akan memulakan operasinya. Semoga kehadiran Asian Broadcasting Network (ABN) akan memeriahkan dunia penyiaran serta memberi impak positif kepada pengguna dengan memberi saingan kepada ASTRO. Takde la ASTRO terus berlagak dengan menaikkan kadar caj sesedap rasa bila dah ada pesaing!!!

Kerajaan Galakkan Persaingan Siaran Televisyen Berbayar - Rais Yatim
KUALA LUMPUR, 16 November : Kerajaan menggalakkan persaingan dalam industri penyediaan siaran televisyen berbayar untuk mengelakkan monopoli oleh sesetengah pihak dalam industri itu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim. Beliau berkata berdasarkan peruntukan dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998, amalan monopoli termasuk kandungan hiburan televisyen tidak akan berlaku.

Sebaliknya, kata beliau industri itu akan berkembang dengan kemunculan Asian Broadcasting Network (ABN) yang bakal memulakan siarannya pada suku kedua tahun depan dengan menggunakan sistem kabel optik.

"Kita akan menggalakkan percambahan kandungan ini dengan pelancaran ABN. Saya yakin iaitu khidmat televisyen kabel digital akan menjadi popular sebab mereka menekankan tentang harga yang berpatutan, khidmat yang cemerlang dan kualitinya baik dan mereka mematuhi piawaian undang-undang negara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan ABN di sini.

Mengulas lanjut tentang monopoli, Rais berkata siaran istimewa seperti bola sepak Piala Dunia dan peristiwa penting tidak seharusnya dikuasai satu pihak kerana ia adalah milik bersama dan sepatutnya ia dikongsi bersama untuk penyiaran.

"Dalam konteks penyiaran di negara ini, kita perlu melihat kandungan itu sebagai hak orang ramai seperti pertandingan bola sepak dunia ataupun badminton dan program-program besar yang tidak boleh dikuasai atau dipegang oleh satu pihak sahaja," katanya.

Ditanya sama ada ABN boleh menyaingi Astro dalam menyediakan siaran televisyen berbayar, beliau berkata mereka tidak seharusnya bertanding atau berkonflik tetapi berjaya mengikut keistimewaan mereka sendiri. "Astro bersiaran melalui satelit di angkasa manakal ABN bersiaran melalui sistem kabel fiber optik di bumi, kedua-duanya tidak sepatutnya berkonflik malahan mereka boleh berjaya dengan keistimewaan masing-masing."

"Astro dengan kelebihan siaran melalui satelitnya dan ABN dengan keistimewaan yang boleh diberikan melalui sistem kabel fiber optiknya dan mungkin ada kerjasama yang boleh dihasilkan antara kedua-dua pihak," katanya.

ABN yakin memperolehi kira-kira 500,000 pelanggan pada tahun pertama siarannya dan mengunjurkan tiga juta pelanggan dalam tempoh lima tahun selepas beroperasi. Ia juga menyasarkan untuk menguasai 15 peratus pasaran dalam tahun pertama dan mencapai 40 peratus menjelang tahun kelima. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails