VVIP DENAI CINTA

10 November 2011

Kes Sosilawati : MP Padang Serai Diberi Amaran

Shah Alam, 9 November : Ahli parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan hari ini diberi amaran oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam supaya tidak memberi sebarang komen membabitkan perbicaraan kes yang sedang berjalan. Gobalakrishnan diperintahkan hadir ke mahkamah untuk memberi penjelasan berhubung kenyataannya yang didakwa 'menyerang' peribadi Manjeet Singh Dhillon, peguam dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.


Kenyataan ahli parlimen itu diterbitkan di dalam akhbar Utusan Malaysia di bawah tajuk 'Manjeet selalu burukkan kerajaan' pada 16 Ogos lepas dan kenyataannya itu turut disiarkan dalam Buletin Utama TV3 pada hari yang sama. Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata Gobalakrishnan tidak sepatutnya membuat komen yang tidak betul dan subjudis terhadap kes yang sedang berjalan apatah lagi beliau tidak pernah hadir ke mahkamah untuk mengikuti kes itu.

Beliau berkata apa yang membimbangkannya ialah ahli parlimen itu telah melibatkan mahkamah dan memanipulasikannya untuk tujuan politik. "Biar saya beritahu anda, hakim-hakim di Malaysia lebih bebas daripada apa yang kamu fikirkan. Kami tidak bodoh dan hanya duduk di sini membenarkan timbalan pendakwa raya dan peguam lakukan apa yang mereka mahu."

"Kami berlandaskan undang-undang. Saya tidak bercadang untuk ambil tindakan kepada kamu hari ini kerana saya percaya untuk memberi peluang kedua. Saya akan memberi amaran kepada kamu dan ini adalah amaran terakhir, ada apa-apa kamu nak cakap," kata Akhtar.

Gobalakrishnan kemudian memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengingati komen yang diberikannya. Akhtar berkata beliau telah memanggil wartawan Utusan Malaysia yang menemubual ahli Parlimen itu dan berdasarkan penjelasan wartawan berkenaan Gobalakrishnan didapati telah mengeluarkan komen tersebut.

"Jika anda lelaki sejati anda akan meminta maaf, jangan ulangi lagi. Saya tidak mahu membuang masa saya. Awak boleh pergi jika awak mahu," kata Akhtar. Gobalakrishnan yang hadir memakai kemeja panjang biru, berseluar hitam dan berkasut sukan kemudian dilihat terus meninggalkan mahkamah.

Sebelum ini, Akhtar turut memberikan amaran yang sama kepada ketua pengarang dan wartawan Utusan Malaysia, Raja Syahrir Abu Bakar serta memerintahkan penerbit Buletin Utama TV3 untuk hadir ke mahkamah bagi memberi penjelasan berhubung penyiaran kenyataan anggota Parlimen Bebas itu.

Pada 18 Ogos lepas, Manjeet yang mewakili tertuduh pertama dalam kes berkenaan, N.Pathmanabhan, membangkitkan mengenai penerbitan artikel tersebut yang didakwa subjudis terhadap perbicaraan kes itu.

Dalam artikel dan berita tersebut, Gobalakrishnan dilaporkan memberi komen berhubung tindakan Manjeet yang didakwa beberapa kali meminta mahkamah mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap pihak pendakwaan dalam kes pembunuhan itu.

Manjeet kemudian memfailkan saman fitnah pada 26 September lepas bagi menuntut gantirugi am serta khas berjumlah RM2.5 juta dan beliau menamakan Gobalakrishnan, Raja Syahrir, Utusan Melayu (M) Berhad dan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) sebagai defendan-defendan.


Dalam penyataan tuntutannya, peguam itu mendakwa tindakan kesemua defendan menyebabkan reputasi dan keperibadian termasuk profesionalisme beliau telah tercemar di mata rakyat Malaysia dan antarabangsa.

Sementara itu, saksi ke-65 pendakwaan, pegawai perubatan dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Amir Saad Abdul Rahim, 40, memberitahu prosiding perbicaraan bahawa sampel darah isteri dan tiga anak salah seorang mangsa, pegawai bank Noorhisham Mohamad, telah diambil pada 19 September tahun lepas untuk dibuat perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA).

Turut memberi keterangan pada hari ini ialah jurutera utama DiGi Telecommunication Chong Chee Wah dan penolong pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi Sarjan Syed Mohd Nazri Syed Darus, 51.

Perbicaraan yang masuk hari ke-47 bersambung esok. - BERNAMA

Melalui MALAYSIAKINI

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails