VVIP DENAI CINTA

13 April 2012

Sham Kamikaze : Dari Gitar Rock Ke Gitar Dakwah

Wajah TERKINI Sham Kamikaze

RAWANG, 13 April : Sham Kamikaze atau nama sebenarnya Shamrel Mohamed Salleh satu nama besar dalam industri hiburan tanah air. Namanya memuncak bersama Mawi melalui Akademi Fantasia apabila beliau menjadi salah seorang guru dalam rancangan itu. Namun, itu dulu. Kini Sham sudah meninggalkan dunia glamour itu dan memperuntukkan sepenuhnya kehidupan beliau untuk dirinya sendiri dan Islam.

Buat pertama kali menatap wajah beliau malam tadi di Masjid Bandar Tasik Puteri, Rawang, tidak terfikir langsung inilah wajah gitaris terkenal tanah air itu. Wajahnya penuh bersih dan tidak ada langsung kesan budaya hidupnya sebelum ini. Walaupun sudah meninggalkan dunia glamour namun Sham tidak meninggalkan gitarnya.

"Kalau Hassan bin Tsabit, seorang penyair di zaman jahiliah boleh terus bersyair, kenapa saya bermain gitar perlu berhenti," kata Sham Kamikaze ketika berforum dengan Catriona Ross, seorang pelakon yang juga berhijrah.

Nama Sham Kamikaze popular apabila nama beliau sentiasa saja disebut pengacara popular, Aznil Nawawi sebagai gitaris terhebat negara. "Untuk pengetahuan tuan-tuan semua, gitar yang digunakan oleh Ustaz Azhar Idrus di depan 70,000 penonton yang menyambut tahun baru 2012 di perkarangan Masjid Shah Alam dulu adalah gitar saya," cerita Sham yang masih kekal dengan gitarnya.

Beliau yang kebetulan baik dengan Ustaz Azhar bercerita bagaimana Ustaz Azhar boleh menggunakan gitarnya itu. Malam itu, Ustaz Azhar dengan ditemani Zizan, pengacara Melodi, memetik gitar milik Sham. Ia telah menggamatkan majlis malam itu.

Ustaz Azhar Idrus ditemani pangacara Melodi, Zizan Razak bermain gitar
milik Sham Kamikaze di perkarangan Masjid Negeri, Shah Alam 31 Disember lalu.

Ketika menceritakan hijrahnya, Sham berkata, beliau bermula dengan memahami agama secara asas dahulu. "Yang pertama, saya fakihkan diri saya dengan agama dahulu. Pengajian tauhid dan aqidah menjadi tumpuan saya. Saya juga mula memakai kopiah dan kadang-kadang jubah. Bukan baik sangat saya ni tetapi saya nak pakai fesyen yang ada kaitan dengan Islam, apa salahnya," kata beliau.

Namun di situlah mulanya tekanan yang beliau terima. "Masyarakat mula membuat tanggapan negatif. Ini berapa hari nak tahan ni, cemuh mereka," cerita beliau. "Kalau Allah tak bantu, teruk dah saya ni. Orang agama yang paling pandang rendah kepada saya bila saya main gitar dan kononnya mahu berdakwah melalui gitar saya. Bila Ustaz Azhar main gitar dan saya juga main gitar, ada orang kata kami dajal," cerita Sham lagi sedih.

Ekoran itu, katanya, beliau mengkaji dengan bersungguh-sunguh tentang perkara ini. "Saya kaji sungguh, saya temui, Dr Yusof Qardawi kata harus ada kata haram tetapi bila saya selidiki, hadis yang kata haram itu tidak kuat. Begitu juga ada hadis 'melayu' yang kata setiap kali kita petik gitar, melahirkan syaitan... Kalau benar begitu, sudah berapa ribu syaitan yang saya lahirkan," katanya.

Namun, kata Sham, beliau benar-benar mahu berhenti dari terus tenggelam dalam dunia glamournya sebelum ini. "Saya berhenti, buat apa dok nikmat dalam buat maksiat. Memang benar dapat duit banyak, Satu konsert RM4-5 ribu... Hari ni saya guna muzik untuk dakwah dan saya dapati hidup dengan aman. Pendapatan saya sebelum ini RM30-40,000 sebulan tetapi belum habis bulan, wang sudah habis. Sekarang alhamdulillah ada baki lagi walaupun pendapatan kurang," beritahu Sham.

Apa yang beliau buat sekarang adalah membuat workshop gitar. "Ramai yang datang terutamanya yang terbiar dari sasaran dakwah selama ini. Mat rempit dan yang duduk main gitar di kepala simpang... Inilah jenis orangnya yang datang ke workshop saya," kata Sham.

Dalam satu kes, Sham memulakan workshopnya jam tiga petang. Antara yang datang adalah pemuda yang berambut panjang jenis rock pokok yang rambutnya panjang dan terjuntai ke depan. Untuk bercakap, mereka ini terpaksa selak rambut mereka dan bercakap dalam tekak mereka untuk menunjukkan mereka rock.

"Bila jam 4.30 petang, saya berhenti. Saya ajak mereka solat asar. Bro, kalau nak lagi power bro, kita solat Asar dulu. Alhamdulillah mereka ikut. Sambil air sembahyang, saya dengar pokok ni kata kata rakan dia, kalau tak kerana ni, aku tak sembahyanglah. Dah lima tahun tak solat... Inilah yang saya buat bersama dengan kawan-kawan saya yang lain," cerita Sham yang mengharukan pendengar yang penuh sesak di masjid itu.

Bagi Sham, beliau lebih gemar kalau menerima jemputan untuk mengajar main gitar dari masjid-masjid. "Anak-anak muda yang tidak pernah dekati masjid yang perlu jadi sasaran kita," kata Sham, "kerana tuan-tuan semua sudah baik."

Ketika ditanya apa rancangan masa depannya, Sham Kamikaze berkata, beliau sudah mengikat satu kontrak dengan Astro Oasis untuk membawa Ustaz Azhar Idrus ke tv. "Insya Allah, ia akan ditayangkan menjelang hari raya puasa akan datang ini," kata Sham yang mahu melihat rakyat Malaysia mempunyai alternatif hiburan dari menonton rancangan yang menambahkan dosa sebagaimana yang ada di stesen tv sekarang. - Harakahdaily

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails