VVIP DENAI CINTA

01 Mac 2012

Sosilawati Rancang Jual Tanah RM200 Juta Di Pulau Pinang

SHAH ALAM, 1 Mac : Perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini Khamis diberitahu bahawa syarikat milik jutawan kosmetik itu terlibat dalam urusan jual beli tanah di Pulau Pinang dengan sebuah syarikat. Pegawai penyiasat ASP Mohd Ishak Yaakob berkata syarikat Southern Symphony Sdn Bhd yang dimiliki oleh Sosilawati merancang menjual tanah berkenaan kepada syarikat Ample Quality Sdn Bhd yang mana ADUN Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil, merupakan seorang daripada ahli lembaga pengarahnya.

Ketika disoal balas peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N Pathmanabhan, saksi ke-99 pendakwaan itu mengakui bahawa Southern Symphony bercadang menjual tanah berkenaan dengan harga RM200 juta. Mohd Ishak juga bersetuju dengan cadangan Manjeet bahawa tanah yang bertujuan untuk projek pembangunan Batu Ferringhi itu membabitkan nilai ratusan juta ringgit.

"Tahu atau tidak berapa dibayar Ample Quality untuk beli tanah berkenaan daripada Southern Symphony," soal Manjeet.

"RM2.9 juta telah dibayar sebagai deposit tetapi bakinya tidak dibayar lagi," jawab Mohd Ishak.

"Jadi, nilai tanah berkenaan dijangka naik lebih daripada RM200 juta walaupun perjanjian (jual beli tanah) belum diselesaikan," soal Manjeet dan saksi itu menjawab "ya".

Mohd Ishak menyambung keterangan pada hari ke-69 perbicaraan kes Pathmanabhan yang merupakan bekas peguam serta tiga pekerja ladang T. Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010. Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kepada soalan oleh Manjeet, saksi pendakwaan itu berkata tanah berkenaan bagaimanapun masih dimiliki oleh Southern Symphony pada Ogos 2010.

"Kalau dia (Southern Symphony) tarik balik perjanjian apa jadi dengan projek itu," soal Manjeet.

"Projek akan terbengkalai," jawab Mohd Ishak.

"Jadi harapan Ample Quality nak millions of ringgit akan terhapus," soal Manjeet dan saksi itu menjawab ya.

Mohd Ishak juga bersetuju dengan Manjeet bahawa Southern Symphony yang ditubuhkan pada 13 April 2007 merupakan 'Syarikat Tujuan Khas' (SPV) bagi urusan jual beli tanah di Pulau Pinang.

Selain itu, pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi itu berkata, analisa ke atas 65 sampel tanah yang diambil dari ladang yang dikatakan menjadi lokasi pembunuhan keempat-empat individu berkenaan tidak menemui sebarang kesan bahan pembakar iaitu bermaksud tiada bukti pembakaran ditemui pada kesemua sampel tanah berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails